NATIONAL
Malaysia sedia jadi peneraju ekonomi digital global - PM Anwar
Malaysia bersedia menjadi peneraju dalam ekonomi digital global dengan adanya kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menjadi peneraju dalam ekonomi digital global dengan adanya kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Malaysia bersedia menerajui ekonomi digital global melalui kepimpinan jelas dan kerjasama pelbagai kementerian.
- Kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI untuk memperkukuh strategi dalam teknologi digital dan kecerdasan buatan.
- Fokus utama termasuk pembangunan teknologi blockchain, aset kripto, AI dan kewangan digital yang inklusif dan selamat.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secara bertanggungjawab dan progresif.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI, satu entiti penasihat strategik yang akan memainkan peranan penting untuk meletakkan negara mampu menguasai teknologi seterusnya berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia.
"Teknologi aset digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara," katanya.
Perdana Menteri berkata antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Penasihat Aset Digital dan AI hari ini ialah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blok rantai (blockchain) dan aset digital termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.
Beliau berkata antara fokus utama adalah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan untuk memperkasakan sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.
"Teknologi-teknologi ini mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepat transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan," katanya.
-- BERNAMA