Malaysia sedia kerjasama dengan AS bawa keamanan untuk Gaza

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan Malaysia menyambut baik persetujuan yang telah dicapai antara Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) dan Israel bagi fasa pertama "Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza". - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa dalam usaha membawa keamanan ke Gaza serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Ringkasan AI
- Malaysia menyambut baik persetujuan antara Hamas dan Israel bagi fasa pertama Pelan Komprehensif Penamatan Konflik Gaza yang dikemukakan oleh Presiden AS Donald Trump.
- Kementerian Luar menegaskan Malaysia bersedia bekerjasama dengan AS dan masyarakat antarabangsa untuk menubuhkan Negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
- Malaysia menghargai peranan Mesir, Qatar dan Turkiye dalam memudah cara rundingan serta menyeru semua pihak melaksanakan pelan damai itu sepenuhnya.
"Malaysia merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas kepimpinan dan usaha beliau ke arah menamatkan perang terhadap Gaza.
"Malaysia juga menghargai peranan penting Mesir, Qatar dan Turkiye serta negara lain yang telah memudah cara pelaksanaan pelan komprehensif tersebut," katanya.
Tambahnya, perkembangan itu merupakan langkah penting ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan dan kebuluran di Gaza, pertukaran tawanan dan tahanan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, serta pembinaan semula dan penzahiran hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Gaza.
Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas telah mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh AS, lapor Anadolu Ajansi.
Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas telah berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir sejak Isnin bagi membincangkan pelan Trump untuk menamatkan konflik itu.
Pelan 20 perkara itu, yang diumumkan pada 29 Sept lepas, merangkumi pembebasan tawanan Israel di Gaza, gencatan senjata dan pelucutan senjata Hamas. Kumpulan Palestin itu bersetuju secara prinsip terhadap pelan berkenaan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 67,200 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menjadikannya tidak boleh didiami.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami