KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Mesir  dalam segala aspek termasuk menempatkan pakar perubatan negara di Mesir.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kesediaan itu adalah bagi menyokong keupayaan hospital-hospital yang sedang merawat rakyat Palestin di Mesir.

"Saya menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan PRCS pada pertemuan dengan Pengerusi PRCS Tarek Arafat. Kerjasama itu adalah dengan menempatkan pakar perubatan Malaysia di Mesir bagi menyokong hospital-hospital yang sedang merawat rakyat Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian seperti mengadakan pertemuan dengan Tarek termasuk melawat Hospital Palestin di Mesir yang dikendalikan oleh PRCS.

Selain itu, Mohamad dan delegasi Malaysia pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengelola Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) merangkap Bekas Menteri Kesihatan Mesir, Prof. Dr Adel Al-Adawi.

Beliau pada pertemuan itu turut meneroka kebolehlaksanaan penyaluran bantuan kemanusiaan melalui jalan laut serta peranan lain yang boleh dimainkan Malaysia bagi meringankan kesengsaraan dihadapi rakyat Palestin di Gaza.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia meletakkan harapan tinggi dan akan sentiasa menyokong usaha rundingan gencatan senjata dan penyaluran bantuan kemanusiaan yang berkesan ke Gaza oleh Kerajaan Mesir.

Dalam pertemuan itu, Kerajaan Malaysia telah menyerahkan cek berjumlah $500,000 Dolar Amerika kepada PRCS manakala 250,000 Dolar Amerika kepada ERC.

Kedua-dua sumbangan itu adalah daripada dan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar Negeri Malaysia.