Tidak ada mana-mana negara seperti Malaysia mempunyai sistem untuk mengendalikan sebarang isu yang ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Malah, katanya ketelusan kerajaan dalam menangani setiap isu atau hal berkaitan dalam laporan tersebut juga terbukti dengan adanya Paparan Susulan Ketua Audit Negara yang merupakan platform bagi mengesan kes di tahap lebih kecil.

"Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam turut mengambil tindakan (ke atas pegawai) dari segi langkah hukuman dan ini menunjukkan ketelusan kerajaan dalam hal berkaitan.

"Sejak dua tiga tahun ini kerajaan memandang serius dengan Laporan Ketua Audit Negara," katanya ketika berucap pada Sesi Bersama Media Mengenai Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 di sini pada Selasa.

Ambrin secara berseloroh menyifatkan ucapannya itu satu tazkirah Ramadan sambil mengajak semua pihak berganding bahu meningkatkan prestasi program serta projek kerajaan agar perbelanjaan dapat dinikmati oleh rakyat.


Beliau turut berharap semua kementerian, jabatan atau agensi dapat mengambil langkah serta tindakan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan serta ketirisan di bawah organisasi masing-masing.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan Persekutuan atau negeri untuk memastikan program yang dijalankan menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

"Kita nak pastikan audit 'value for money' kerana nak pastikan setiap Ringgit dapat mencapai matlamat program.

"Tugas audit adalah untuk memberi pandangan berasaskan pengauditan yang berasaskan sampel ... kita (audit) tak mampu nak liputi seluruh populasi," katanya.

Ketua Audit Negara turut menyeru pegawai yang terlibat dalam setiap projek kerajaan supaya mengelakkan gejala negatif seperti pemborosan, pembaziran, pembayaran tidak patut dan sebagainya.

Katanya kerajaan mempunyai peraturan yang lengkap bagi setiap Ringgit yang dibelanjakan dan adalah tanggungjawab semua penjawat awam untuk mematuhinya.