MALAYSIA
Malaysia seru ASEAN bersatu hadapi isu iklim global - Johari

Menurut Johari, AMME bukan sekadar platform menilai kemajuan dasar yang sudah dijalankan tetapi ia juga peluang mengukuhkan komitmen negara anggota ke arah tindakan lebih berwawasan. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: Malaysia menyeru ASEAN bersatu dalam menghadapi isu perubahan iklim yang semakin mencabar supaya rantau ini tidak ketinggalan dalam mempengaruhi hala tuju perbincangan dunia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama erat perlu diperkukuh agar ASEAN tampil dengan pendirian bersama yang lebih tegas.
“ASEAN mampu dan harus mengambil pendirian lebih tegas dalam isu seperti kewangan iklim, adaptasi, kerugian dan kerosakan, peralihan adil serta Matlamat Global Adaptasi (GGA).
“Pendirian sedemikian penting menjelang Persidangan Negara-Negara Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP30) hujung tahun ini,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18), di sini, pada Rabu.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, AMME bukan sekadar platform menilai kemajuan dasar yang sudah dijalankan, tetapi ia juga peluang mengukuhkan komitmen negara anggota ke arah tindakan lebih bersepadu dan berwawasan.
“Kerjasama rentas sektor antara AMME, Rangkaian Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Alam Sekitar (ASOEN) serta badan sektor lain dalam ASEAN akan membantu memperkukuh usaha serantau terhadap keutamaan alam sekitar,” ujarnya lagi.
Dalam ucapannya, Johari turut menekankan komitmen ASEAN untuk melaksanakan perjanjian antarabangsa termasuk Perjanjian Paris, Rangka Kerja Global Kepelbagaian Biologi Kunming-Montreal (KMGBF) serta rundingan Perjanjian Global Plastik.
Katanya, mesyuarat kali ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN, sekali gus menjadi landasan penting menuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami