MALAYSIA

Malaysia seru hentikan keganasan serta-merta, lindungi orang awam di Sudan - PM Anwar

Bernama 03/11/2025 | 07:53 MYT
Perdana Menteri menyifatkannya sebagai malapetaka kemanusiaan dengan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan pemindahan penduduk dalam skala yang menggemparkan. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru supaya keganasan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, susulan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan.


Ringkasan AI
  • Malaysia gesa hentikan keganasan di Darfur, Sudan dan lindungi orang awam mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, susulan krisis yang disifatkan PM Anwar Ibrahim sebagai malapetaka kemanusiaan.
  • Anwar nyatakan kebimbangan terhadap laporan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan pemindahan penduduk yang mungkin dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan atau pembersihan etnik.
  • Konflik Sudan sejak April 2023 telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta pelarian, menurut PBB; Malaysia gesa komuniti antarabangsa bertindak tegas, pulihkan akses kemanusiaan dan sokong proses keamanan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat terkejut dan bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku, yang disifatkannya sebagai malapetaka kemanusiaan dengan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan pemindahan penduduk dalam skala yang menggemparkan.

"Laporan mengenai kekejaman yang mungkin boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, malah pembersihan etnik, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Malaysia menyeru supaya keganasan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi sepenuhnya mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata beliau dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa komuniti antarabangsa supaya bertindak tegas untuk menghentikan penderitaan, memulihkan akses kemanusiaan, serta menyokong proses ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Perpindahan (IOM) pada Ahad, sebanyak 1,205 orang telah dipindahkan dari bandar Bara dan Umm Ruwaba di negeri Kordofan Utara, manakala 360 lagi melarikan diri dari Al-Abbasiya dan Delami di Kordofan Selatan akibat keadaan keselamatan yang semakin memburuk, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Antarabangsa bagi Perpindahan (IOM) memaklumkan bahawa pasukannya yang beroperasi di bawah program Displacement Tracking Matrix (DTM) menganggarkan daripada jumlah mangsa yang dipindahkan dari Kordofan Utara, seramai 580 orang melarikan diri dari Bara, manakala 625 orang meninggalkan Umm Ruwaba.

IOM menambah bahawa mereka yang dipindahkan telah berpindah ke pelbagai lokasi dalam Kordofan Utara serta ke beberapa bandar di negeri White Nile di selatan Sudan.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan Pasukan Separuh Tentera Rapid Support Forces (RSF) terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan melalui pelbagai usaha perdamaian serantau dan antarabangsa.

Konflik tersebut telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang menjadi pelarian serta mangsa perpindahan dalaman, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber tempatan.

-- BERNAMA




#Anwar Ibrahim #krisis kemanusiaan #Sudan #El Fasher #Darfur #terkini