MALAYSIA

Malaysia seru keamanan berkekalan susulan pengenduran ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja

Bernama 01/08/2025 | 21:50 MYT
Delegasi ke sempadan Thailand-Kemboja melibatkan 105 peserta, termasuk duta dan timbalan ketua perwakilan dari 11 negara serta atase tentera dari 23 negara yang berpangkalan di Bangkok. - Foto Kedutaan Malaysia Thailand
BANGKOK: Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) pada Jumaat mengetuai delegasi atase tentera asing dan diplomat melawat kawasan yang terjejas konflik di Wilayah Si Sa Ket, berhampiran sempadan Thailand-Kemboja.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata lawatan itu memberi peluang kepada anggota delegasi menyaksikan sendiri tahap kerosakan dan kesan konflik terhadap komuniti tempatan.

"Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, benar-benar berharap keamanan dapat dikembalikan antara dua negara jiran rapat ini secepat mungkin agar masyarakat di kawasan sempadan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, Jumaat.

Bong berkata beliau dimaklumkan bahawa penduduk yang tinggal berhampiran sempadan masih belum dapat pulang ke kediaman mereka berikutan kewujudan periuk api yang ditanam di lokasi tidak dikenal pasti di kawasan sekeliling.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam konflik itu.

"Kami berharap mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur nanti akan membuahkan hasil yang positif," katanya.

Beliau turut berharap kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan gencatan senjata secara kekal serta menyelesaikan usaha pelupusan periuk api, sekali gus membolehkan penduduk yang dipindahkan kembali ke rumah mereka dengan selamat secepat mungkin.

Sementara itu, Atase Pertahanan Malaysia, Brig Jen Samsul Rizal Musa yang turut menyertai lawatan itu menyifatkan situasi di sempadan sebagai sesuatu yang tragis, khususnya terhadap orang awam dan kanak-kanak.

Beliau berkata lawatan itu membantu para delegasi memahami secara lebih mendalam keadaan sebenar di lapangan.

"Saya berharap gencatan senjata ini akan berkekalan dan tiada lagi konflik tercetus antara Thailand dan Kemboja," katanya.

Delegasi ke sempadan Thailand-Kemboja yang dianjurkan RTA itu melibatkan 105 peserta, termasuk duta dan timbalan ketua perwakilan dari 11 negara serta atase tentera dari 23 negara yang berpangkalan di Bangkok.

Ketegangan di sepanjang sempadan itu meningkat daripada insiden pertempuran singkat pada 28 Mei kepada konflik bersenjata pada 24 Julai.

Pada Isnin (29 Julai), Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN.

Mesyuarat GBC yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 5 Ogos dijangka dihadiri atase pertahanan dari negara-negara ASEAN serta wakil dari Amerika Syarikat dan China.

-- BERNAMA


#konflik sempadan Thailand-Kemboja #Tentera Darat Diraja #Bong Yik Jui #Samsul Rizal Musa