[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Malaysia seru kerjasama ASEAN-OIC tangani krisis Myanmar

Bernama 22/06/2025 | 13:49 MYT
Mohamad berkata, Malaysia kenal pasti tiga keutamaan utama iaitu menggalakkan dialog politik terangkum, memastikan penamatan keganasan serta meningkatkan bantuan kemanusiaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menyeru agar kerjasama lebih erat antara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ditingkatkan bagi menangani situasi di Myanmar yang semakin meruncing, dengan tumpuan untuk menamatkan keganasan, mengurangkan krisis kemanusiaan dan menyokong keamanan jangka panjang di negara itu.
Dalam kenyataan pada Mesyuarat Kumpulan Perhubungan OIC mengenai Muslim Rohingya Myanmar di Istanbul, Turkiye pada Ahad, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia amat bimbang dengan keadaan di Myanmar, khususnya nasib pelarian Rohingya, dan menegaskan keperluan untuk memastikan kepulangan mereka ke Negeri Rakhine secara selamat, bermaruah dan berkekalan.
Beliau berkata penting untuk mewujudkan persekitaran yang selamat, terjamin dan kondusif bagi pengagihan bantuan secara berkesan dan tepat pada masanya kepada semua komuniti yang terjejas susulan krisis kemanusiaan serius akibat gempa bumi pada 28 Mac.
"Malaysia komited untuk mengambil pendekatan membina dalam menangani situasi di Myanmar. Kami mengenal pasti tiga keutamaan utama iaitu menggalakkan dialog politik yang terangkum, memastikan penamatan keganasan serta meningkatkan bantuan kemanusiaan.
"Malaysia menggalakkan penglibatan yang lebih besar antara Negara Anggota OIC dan pihak berkepentingan, dengan tumpuan untuk menamatkan keganasan dan mengurangkan krisis kemanusiaan dengan matlamat menyokong keamanan di Myanmar," katanya.
Mohamad berkata Malaysia, menerusi Utusan Khas ASEAN Tan Sri Othman Hashim, telah mempergiat usaha untuk berinteraksi secara terangkum dengan semua pihak berkepentingan, namun pada masa ini terdapat banyak pihak berkepentingan di Myanmar.
Beliau berkata penglibatan terangkum ini akan menjadi asas penting untuk kerjasama lebih mendalam mengenai keutamaan bersama, khususnya dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan.
"Sehubungan itu, Malaysia berharap Kumpulan Perhubungan OIC dan Utusan Khas kami dapat mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh melengkapkan lagi usaha menyokong penyelesaian yang aman dan terangkum," katanya.
Mengenai krisis kemanusiaan susulan gempa bumi dahsyat di Myanmar, Mohamad menggesa semua pihak bergerak ke arah gencatan senjata lebih kekal dan bekerjasama untuk mencapai penyelesaian krisis yang mampan.
Pada masa ini, katanya, pihak-pihak yang bertelagah telah mengumumkan gencatan senjata sementara secara unilateral.
"Walaupun perkembangan ini menggalakkan, pembiayaan bagi usaha kemanusiaan masih sangat tidak mencukupi.
Kami menggalakkan anggota OIC untuk terus menyokong usaha bantuan kemanusiaan," katanya.
Malaysia telah menyumbang 30 tan bantuan kemanusiaan berupa bekalan keperluan asas, menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan menubuhkan hospital medan sejurus selepas gempa bumi di Bandar Sagaing, kawasan paling terjejas.
-- BERNAMA
#Mohamad Hasan #Malaysia #dialog politik #bantuan kemanusiaan #Myanmar