Malaysia seru keutuhan solidariti ASEAN-China dalam menghadapi cabaran global

Malaysia menggesa ASEAN dan China untuk berdiri teguh dalam solidariti ketika berdepan perubahan persekitaran global yang pesat, sambil menyeru kedua-dua pihak supaya mendukung nilai-nilai Asia bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
FUZHOU (China): Malaysia menggesa ASEAN dan China untuk berdiri teguh dalam solidariti ketika berdepan perubahan persekitaran global yang pesat, sambil menyeru kedua-dua pihak supaya mendukung nilai-nilai Asia bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
Berucap pada Majlis Pembukaan Minggu ASEAN-China 2025 pada Isnin, Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, landskap antarabangsa semasa yang bercirikan pemecahan ekonomi, gangguan teknologi dan tekanan terhadap sistem multilateralisme yang memerlukan ASEAN dan China memperkukuh kerjasama jangka panjang mereka.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan dan tujuan bersama amat penting dalam menangani cabaran itu.
"ASEAN dan China mesti berdiri dalam solidariti," katanya sambil menyeru kedua-dua pihak memperjuangkan nilai-nilai Asia seperti keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman bagi meningkatkan kestabilan dan kepastian di rantau ini.
Awang Bemee berkata, Malaysia melihat Pemusatan ASEAN sebagai tonggak penting dalam memastikan hubungan yang seimbang dan konstruktif pada era persaingan strategik ini.
Beliau berkata, cabaran serantau tidak boleh diselesaikan melalui tindakan unilateral atau preskripsi luar, sebaliknya mesti ditangani melalui dialog, pembinaan konsensus dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Awang Bemee berkata, prinsip yang termaktub dalam sejarah ASEAN menawarkan bimbingan penting, sambil mengimbas kembali kerelevanan semangat Persidangan Bandung 1955 yang menyambut ulang tahun ke-70 tahun ini.
"'Semangat Bandung' ini cukup signifikan dalam dokumen asas ASEAN sendiri, iaitu Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara," katanya.
Beliau berkata, semangat kerjasama dan kewujudan aman itu perlu terus menjadi asas kepada Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China, khususnya ketika kedua-dua pihak mengharungi cabaran global yang rumit.
Awang Bemee turut menekankan keserasian antara Visi Komuniti ASEAN 2045 dan agenda pemodenan China, yang kedua-duanya menyasarkan untuk menjadi sebuah rantau yang aman, stabil dan bertumpu kepada rakyat.
Beliau berkata, keutamaan pembangunan yang seiring seperti ekonomi digital, teknologi hijau dan kecerdasan buatan wajar dimanfaatkan bagi mengukuhkan daya tahan bersama dan keyakinan serantau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China (ACC), Shi Zhongjun berkata, pergerakan rakyat antara China dan ASEAN terus meningkat, disokong dengan pelaksanaan "Visa ASEAN".
Beliau berkata, bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, pertukaran rakyat antara Tanah Besar China dan negara-negara ASEAN mencecah lebih 25.244 juta, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 11.2 peratus.
Shi turut menyatakan perdagangan dua hala melonjak daripada kurang US$8 bilion kepada US$982.3 bilion pada 2024, menjadikan ASEAN dan China rakan dagang terbesar antara satu sama lain.
"Baru-baru ini, para pemimpin menyaksikan pemeteraian Protokol Naik Taraf Kawsan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, menandakan permulaan baharu kerjasama ekonomi dan perdagangan," katanya.
Beliau menambah, projek infrastruktur utama seperti Kereta Api China-Laos dan Kereta Api Laju Jakarta-Bandung mencerminkan kekuatan kerjasama itu.
Program itu bertujuan mempamerkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China yang pesat berkembang, selain menjadi platform memperkukuh kefahaman bersama, kerjasama menang-menang dan pertukaran antara rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


