Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Malaysia seru penyelarasan berterusan dalam proses keamanan Bangsamoro

Bernama 20/08/2025 | 03:00 MYT
Abdul Malik Melvin Castelino, Duta Besar Malaysia ke Filipina. - Foto aseanbiodiversity
MANILA: Malaysia menyuarakan harapan agar penyelarasan berterusan dapat dikekalkan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) selepas kumpulan itu menggantung pelucutan senjata peringkat terakhir pejuangnya, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

"Saya berharap semua pihak akan terus bekerjasama.

"Ini adalah sesuatu yang perlu diselesaikan sendiri oleh pihak terlibat. Kita mahu semua pihak bersatu, itu yang paling penting," kata Duta Besar Malaysia ke Filipina, Abdul Malik Melvin Castelino kepada pemberita di Taguig City pada Selasa ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu proses keamanan Bangsamoro.

Menerusi satu memorandum bertarikh 16 Ogos, Pengerusi MILF, Alhadj Murad Ebrahim mengarahkan semua komander dan anggota supaya tidak menyertai sebarang aktiviti pelucutan senjata atau normalisasi kerajaan "tanpa kelulusan bertulis terlebih dahulu" daripada pihak MILF.

Arahan itu dikeluarkan susulan resolusi Jawatankuasa Pusat MILF pada 19 Julai yang menggantung sementara pelaksanaan fasa keempat dan terakhir proses pelucutan senjata.

Berdasarkan Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB), MILF dijadualkan menjalani proses pelucutan senjata secara berfasa -- 10 peratus pada Fasa 1, 30 peratus pada Fasa 2, 35 peratus pada Fasa 3 dan selebihnya pada Fasa 4.

Malaysia memainkan peranan penting dalam rundingan itu dengan bertindak sebagai pemudah cara, menyediakan tempat berkecuali untuk perbincangan serta mendokumentasikan komitmen dan persetujuan yang dicapai.

-- BERNAMA

#Abdul Malik Melvin Castelino #bangsamoro #Filipina #Jawatankuasa Pusat MILF