MALAYSIA

Malaysia, Singapura meterai perjanjian tambahan untuk RTS Link

Bernama 04/12/2025 | 14:17 MYT
Perjanjian tambahan itu ditandatangani Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Kanan bagi Kewangan Singapura Jeffrey Siow. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani perjanjian tambahan untuk projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sekali gus memuktamadkan perbincangan untuk kemudahan imigresen bersama di bawah projek itu.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian tambahan untuk projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyaksikan penandatanganan perjanjian itu di Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.
  • Pembinaan RTS dijadual siap menjelang 31 Disember 2026 dan dijangka beroperasi pada Januari 2027; turut dibincangkan penambahbaikan skim teksi rentas sempadan serta isu Batu Putih dan maritim.


Perjanjian tambahan itu ditandatangani Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Kanan bagi Kewangan Singapura Jeffrey Siow.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyaksikan majlis itu pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 di sini.

Terdahulu, Loke menjelaskan bahawa lokasi bersama itu merujuk kepada pegawai imigresen bertugas dalam bangunan atau kompleks yang sama, sekali gus memudahkan pemeriksaan untuk kedua-dua negara.

Pembinaan RTS, yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura, kini mengikut jadual untuk disiapkan menjelang 31 Dis 2026 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai butiran pertemuan empat mata bersama Wong, Anwar berkata beliau dan rakan sejawatnya turut menyentuh mengenai kesesakan laluan sempadan yang perlu ditangani segera.

Perdana Menteri berkata turut dibincangkan penambahbaikan skim teksi rentas sempadan bagi meningkatkan kemudahan kepada pengembara.

Anwar berkata topik lain yang dibincangkan dengan Singapura adalah mengenai isu Batu Putih dan beberapa isu maritim yang masih belum dapat diselesaikan secara muktamad.

Katanya, Malaysia dan Singapura sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meleraikan pertikaian tersebut namun ia melibatkan aspek kedaulatan negara dan lebih kompleks berbanding isu lain.

Beliau menambah bahawa kerjasama dua hala dalam peralihan tenaga dan import tenaga, khususnya dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia serta Singapura, turut menunjukkan kemajuan ketara.

"Kerjasama ini sudah berada di tahap yang jelas. Usaha sedang digiatkan supaya Sarawak dapat mengeksport tenaga dengan mudah, sambil memastikan keperluan tenaga di Semenanjung Malaysia dan Singapura dipenuhi," katanya.

Beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga telah diarahkan untuk mempercepat pelaksanaan kerjasama itu.

Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara merupakan mekanisme tertinggi untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan dua negara jiran itu.

-- BERNAMA

#RTS Link #Malaysia #Singapura #perjanjian tambahan