Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Singapura sambut baik kemajuan JS-SEZ, usaha muktamad pelan induk dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR, July 13 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (left) receives a courtesy call from Singaporean President Tharman Shanmugaratnam today in conjunction with the latter's three-day state visit to Malaysia from July 13 to 15.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED  KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam hari ini bersempena lawatan negara beliau ke Malaysia selama tiga hari dari 13
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura menyambut baik kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) termasuk usaha memuktamadkan pelan induk JS-SEZ dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata inisiatif strategik itu bakal memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan kedua-dua negara.

Menerusi hantaran di media sosial X pada Isnin, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di samping bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura, perkembangan serantau serta pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.

“Bicara kami turut menyentuh perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh.

“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk terus menyelesaikan apa jua isu yang masih berbangkit melalui rundingan yang konstruktif, berlandaskan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah dipersetujui bersama,” katanya.

Anwar turut berharap semoga hubungan Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Tharman sedang mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei, 2024.

Menurut kementerian itu, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) pada 2025, peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.

Dari tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (US$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (US$37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement