Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Singapura terus perkukuh kerjasama pendidikan - Fadhlina

Fadhlina (kanan) berkata perbincangan itu antara lain menumpukan kepada usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi program Malaysia-Singapore English Volunteers Programme (MSEVP). -Foto Facebook
Fadhlina (kanan) berkata perbincangan itu antara lain menumpukan kepada usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi program Malaysia-Singapore English Volunteers Programme (MSEVP). -Foto Facebook

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura komited untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid serta guru di kedua-dua negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Menerusi hantaran Facebook hari ini, beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Desmond Lee.

Fadhlina berkata perbincangan itu antara lain menumpukan kepada usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi program Malaysia-Singapore English Volunteers Programme (MSEVP).

“Kami turut membincangkan program pertukaran guru Bahasa Melayu untuk berkongsi pengalaman serta kaedah pengajaran.

“Kerjasama itu turut merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan termasuk perkongsian pengalaman Malaysia melalui platform pembelajaran digital Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata kedua-dua pihak berhasrat memperluas program jaringan sekolah bagi memberi ruang kepada murid untuk mengenali kepelbagaian budaya dan belajar bersama-sama rakan sebaya dari negara jiran.

Beliau berkata setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang pendidikan yang boleh dikongsi dan dipelajari bersama.

“Paling penting, kerjasama ini mesti membawa manfaat kepada guru dan murid,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement