[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
MALAYSIA

Malaysia sokong pelan damai Gaza secara bersyarat - Mohamad Hasan

Bernama 14/10/2025 | 08:32 MYT
Mohamad bercakap kepada pemberita semasa sesi sidang media Kelab Concorde di sini pada Selasa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak dijemput menyertai sidang kemuncak pelan damai Gaza di Sharm El-Sheikh, Mesir kerana pendiriannya yang menyokong pelan itu secara bersyarat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.


Ringkasan AI
  • Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Pelan Damai Gaza di Sharm El-Sheikh kerana pendiriannya menyokong pelan damai secara bersyarat, bukan secara membuta tuli.
  • Mohamad Hasan menjelaskan sokongan bersyarat Malaysia menekankan penubuhan negara Palestin merdeka, kepulangan rakyat Palestin, sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
  • Sidang kemuncak dipengerusikan Mesir dan AS dengan pelan 20 perkara Trump, yang memulakan fasa pertama gencatan senjata Gaza Jumaat lalu.


Beliau menjelaskan bahawa Malaysia dilihat sebagai negara yang menyokong secara bersyarat apabila memberi sokongan dengan menyertakan penjelasan undi (explanation of vote) dalam Deklarasi New York pada Julai lepas, dan bukan secara membuta tuli.

"Kita menyokong (perjanjian perdamaian) tetapi dengan penerangan terhadap sokongan kita, bukan secara membuta tuli.

"By explanation of vote, itu pegangan kita terhadap perjuangan Palestin," katanya kepada pemberita semasa sesi sidang media Kelab Concorde di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai sokongan bersyarat Malaysia, Mohamad berkata perjuangan terhadap rakyat Palestin adalah untuk memastikan penubuhan sebuah negara yang merdeka, kepulangan rakyat Palestin ke tanah air mereka, penetapan sempadan negara berdasarkan sempadan yang diwujudkan sebelum 1967 serta menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Sesi Kelab Concorde itu dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Seri Wong Chun Wai. Turut hadir Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj.

Kelab Concorde merupakan kumpulan tidak rasmi yang menghimpunkan pengarang kanan daripada agensi media tempatan dan antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata Malaysia menyokong pelan damai Amerika Syarikat kerana setiap usaha ke arah perdamaian penting bagi menghentikan pembunuhan dan kemusnahan di Gaza.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, lebih 20 pemimpin dunia menghadiri Sidang Kemuncak Pelan Damai Gaza yang dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi serta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada Jumaat lalu di bawah pelan 20 perkara Trump bagi menamatkan perang dua tahun Israel di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA




#Pelan Damai Gaza #menyokong pelan itu secara bersyarat #Mohamad Hasan #Donald Trump #Israel