KUALA LUMPUR: Malaysia pada Selasa menandatangani Konvensyen mengenai Persatuan Antarabangsa Bantuan Marin Untuk Navigasi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan malam ini memaklumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah menandatangani konvensyen itu dalam satu majlis yang berlangsung di Putrajaya.

 
Sumber Facebook motmalaysia


Kenyataan itu menyebut konvensyen itu adalah instrumen perjanjian sebagai peralihan bagi Persatuan Antarabangsa Perkhidmatan Rumah Api (IALA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kepada dan akan digantikan oleh Persatuan Antarabangsa Bantuan Marin Untuk Navigasi, yang merupakan pertubuhan antara kerajaan (IGO).

 
Sumber Facebook motmalaysia


"Konvensyen ini adalah penting untuk memajukan peranan IALA selaras dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan navigasi maritim dengan menyumbang kepada penambahbaikan serta penyelarasan tindakannya di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Turut hadir Duta Perancis ke Malaysia Roland Galharague, anggota Light Dues Board dan Duta bagi Perwakilan Khas Rundingan Maritim Serge Segura.

Sebagai negara yang terletak di Selat Melaka, peranan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kecekapan navigasi di sepanjang selat itu dipandang serius.

"Kecekapan pengangkutan maritim amat bergantung kepada Bantuan Navigasi yang membolehkan pelaut moden mengangkut 90 peratus kargo dunia dengan selamat, dengan lebih 98,000 kapal belayar di seluruh dunia setiap hari," menurut kenyataan itu.

MOT berkata ia menekankan kepentingan sektor maritim sebagai tunjang ekonomi global yang menghubungkan dunia menerusi penghantaran barangan dan seterusnya mengembangkan lagi ekonomi.

Sebagai sebahagian daripada pihak yang menandatangani konvensyen itu, Malaysia mempelawa semua negara lain agar turut mengambil bahagian dalam menyokong konvensyen tersebut yang kini dibuka kepada semua selama setahun bermula 27 Jan 2021 dan berharap ia akan diratifikasi serta boleh dikuatkuasakan sekali gus mengubah status IALA kepada IGO.

-- BERNAMA