KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menarik kehadiran 10 juta pelancong asing dan menjana RM28.2 bilion pendapatan pelancongan pada 2022 menerusi pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan (TRF) 2.0, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata jumlah itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu 9.2 juta pelancong asing dengan RM26.2 bilion pendapatan.

Beliau berkata TRF 2.0 mempunyai lima tonggak strategi utama iaitu menyokong pemulihan perniagaan pelancongan dan kebudayaan, selain memulihkan keyakinan pelancongan dan perjalanan antarabangsa serta intrarantau yang lancar.

"Selain itu, mencipta semula produk atau perkhidmatan pelancongan dan kebudayaan bagi memacu daya saing; menyelaraskan pelancongan dengan kemampanan dan keterangkuman; dan memperkukuh pemulihan dengan ketahanan jangka panjang serta kesediaan menghadapi krisis," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu.

Mengenai cadangan penganjuran Minggu Budaya Malaysia, beliau berkata acara itu telah dimasukkan dalam takwim kementerian dan akan dianjurkan dengan skala nasional melibatkan peruntukan khas RM5 juta bagi memastikan penganjurannya menghasilkan impak lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM837,175,600 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan berjumlah RM673.5 juta bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dalam penggulungannya, timbalan menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kementerian itu akan meneruskan program Hab Inovasi Antarabangsa dengan peruntukan berjumlah RM18 juta.

Beliau berkata peruntukan itu akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan fasiliti teknousahawan yang turut melibatkan program latihan (coaching), mentoring serta program akses pemasaran dan pembangunan harta intelek (IP).

"MOSTI menyasarkan supaya syarikat luar negara khususnya dari negara ASEAN menggunakan fasiliti yang dibangunkan dan seterusnya beroperasi di MRANTI (Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation)," katanya.

-- BERNAMA