[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Malaysia tegas perkasa penyertaan ekonomi wanita di Forum APEC

Harits Asyraf Hasnan 13/08/2025 | 00:40 MYT
Nancy turut menekankan langkah proaktif Malaysia dalam menangani perubahan demografi ketika menyampaikan kenyataan negara dalam Dialog Dasar Peringkat Tinggi pada Forum Wanita dan Ekonomi APEC 2025 di Incheon, Korea Selatan, semalam. - Foto KPWKM
INCHEON: Malaysia terus komited memperkasa penyertaan ekonomi wanita sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan inklusif dan mampan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, pada Forum Wanita dan Ekonomi APEC 2025 di sini semalam.

Menyampaikan kenyataan negara dalam Dialog Dasar Peringkat Tinggi, Nancy berkata usaha Malaysia sejajar dengan agenda APEC 2025, Pelan Tindakan La Serena, dan Wawasan Putrajaya 2040 yang menekankan kesaksamaan gender sebagai keutamaan serantau.

“Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan kami menyediakan hala tuju yang jelas untuk memperkukuh kepimpinan wanita, memperluas akses ekonomi, dan mengarusperdana gender merentas semua sektor,” katanya sambil menambah, reformasi institusi dan pembangunan kapasiti kekal sebagai teras utama pendekatan Malaysia.

Nancy turut menekankan langkah proaktif Malaysia dalam menangani perubahan demografi seperti kadar kesuburan yang menurun dan peningkatan keperluan penjagaan melalui pelbagai dasar mesra keluarga.

“Kami telah melaksanakan pelbagai dasar mesra keluarga, termasuk pelepasan cukai untuk penjagaan kanak-kanak, insentif kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja, serta inisiatif penjagaan kanak-kanak di tempat kerja yang diketuai oleh majikan,” katanya.

Dalam aspek keselamatan dan keterangkuman di tempat kerja, Nancy berkata Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap diskriminasi ekonomi menerusi penggubalan Akta Gangguan Seksual dan penubuhan tribunal khas.

“Transformasi digital membuka peluang luar biasa, namun hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika akses dan keupayaan adalah inklusif,” katanya sambil merujuk kepada inisiatif seperti Women Gig@BIT, KIRANA, dan EmpowerHER Digital 2025 yang memperkasa wanita – khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti rentan – dengan kemahiran digital dan keusahawanan.

Beliau turut berkongsi bahawa program AI at Work 2.0 telah melatih lebih 200 Duta Perubahan untuk menyebarluaskan kemahiran kecerdasan buatan generatif kepada lebih 445,000 penjawat awam, memastikan wanita dalam perkhidmatan awam tidak ketinggalan dalam peralihan digital.

“Malaysia percaya bahawa dengan mengubah cabaran struktur kepada peluang – melalui tadbir urus responsif gender, keterangkuman digital dan sistem penjagaan yang saksama – kita mampu merealisasikan matlamat APEC: pertumbuhan yang dinamik, berdaya tahan dan inklusif untuk semua,” katanya.

Forum Wanita dan Ekonomi APEC yang dianjurkan oleh Republik Korea menghimpunkan menteri dan pegawai kanan dari 21 ekonomi anggota bagi memperkukuh kesaksamaan gender dan pemerkasaan ekonomi wanita di rantau Asia-Pasifik.







#Nancy Shukri #Kenyataan Negara #Dialog Dasar Peringkat Tinggi #Forum Wanita dan Ekonomi APEC 2025