[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Malaysia tegas terus perkukuh kerjasama dengan China banteras jenayah rentas sempadan

Bernama 11/09/2025 | 07:45 MYT
Saifuddin (kiri) hadir pada mesyuarat dua hala bersama Naib Menteri Keselamatan Awam China merangkap Pesuruhjaya Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) Wang Zhizhong, yang diadakan sempena AMMTC hari ini. - Foto Bernama
MELAKA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama dengan China dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian, demi menjamin keamanan dan kestabilan serantau.


Ringkasan AI
  • Malaysia komited perkukuh kerjasama dengan China untuk membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian, melalui mesyuarat dua hala sempena AMMTC ke-19 di Melaka.
  • Fokus kerjasama termasuk perkongsian maklumat masa nyata, latihan bersama, pembangunan kapasiti, serta penggunaan teknologi seperti forensik digital, analisis data besar dan AI.
  • Malaysia cadang tubuh kumpulan kerja khas mengenai jenayah rentas sempadan dan menggalakkan pertukaran akademi polis, biasiswa serta penyelidikan bersama bagi memperkukuh keselamatan serantau.


Beliau berkata demikian pada mesyuarat dua hala bersama Naib Menteri Keselamatan Awam China merangkap Pesuruhjaya Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) Wang Zhizhong, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution turut menyampaikan penghargaan mendalam terhadap hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara, baik secara dua hala mahupun dalam kerangka ASEAN.

"Ancaman seperti pemerdagangan manusia, jenayah siber, narkotik, keganasan dan pengubahan wang haram tidak mengenal sempadan, justeru memerlukan kita memperkukuh kerjasama serantau," katanya.

Beliau menekankan keperluan melaksanakan program pembangunan kapasiti, latihan bersama serta perkongsian maklumat secara masa nyata bagi meningkatkan keberkesanan kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang.

Saifuddin Nasution turut mengalu-alukan kerjasama lebih erat di bawah mekanisme AMMTC+China, termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-China mengenai Jenayah Rentas Sempadan.

Beliau mencadangkan penganjuran bengkel dan dialog berkala, khususnya dalam bidang pencegahan jenayah siber dan memerangi keganasan, selain kerjasama dalam bidang forensik digital, analisis data besar serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk penguatkuasaan undang-undang.

Pada peringkat dua hala, beliau berkata Malaysia berhasrat menubuhkan kumpulan kerja khusus mengenai jenayah rentas sempadan bagi melengkapkan mekanisme ASEAN, selain mengalu-alukan pertukaran melalui akademi polis, pemberian biasiswa serta penyelidikan bersama pencegahan jenayah.

"Kami yakin dengan memperkukuh kerjasama dalam kerangka ASEAN, kita mampu mencapai kemajuan bermakna dalam melindungi penduduk daripada ancaman jenayah rentas sempadan," tambahnya.

Turut hadir ialah pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri termasuk Ketua Setiausaha Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Bahagian Keselamatan Mohd Azlan Razali serta Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Dr Hebat Hisham Mohd Yusoff.

Delegasi China pula diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa Kementerian Keselamatan Awam, Tan Jun; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Warga Asing NIA, Chen Yongli; dan Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Keluar Masuk Warganegara China NIA, Xiong Shuren.

Mesyuarat AMMTC ke-19 yang berlangsung di Melaka dari 8 hingga 12 Sept ini menghimpunkan menteri-menteri ASEAN serta pegawai kanan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh kerjasama serantau membanteras jenayah rentas sempadan.

-- BERNAMA




#perkukuh kerjasama dengan China #Saifuddin Nasution #penipuan dalam talian #keamanan serantau