MALAYSIA

Malaysia teliti strategi holistik bagi pelaksanaan EUDR berisiko rendah - Johari

Bernama 23/10/2025 | 06:20 MYT
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penelitian itu merangkumi penilaian kriteria penanda aras negara yang berada di bawah bidang tugas pelbagai kementerian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) telah meneliti strategi dan langkah yang perlu dilaksanakan secara holistik merentasi kementerian bagi memastikan Malaysia dapat dikategorikan semula sebagai negara berisiko rendah dalam pelaksanaan EUDR.


Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR meneliti strategi merentas kementerian bagi memastikan Malaysia dikategorikan semula sebagai negara berisiko rendah, termasuk penilaian penanda aras dan penyelarasan data hutan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan hak asasi manusia dan perhutanan.
  • Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut menekankan elemen kemampanan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik.
  • Kerajaan membangunkan sistem kebolehjejakan nasional sektor sawit melalui MSPO, dengan MPOB di peringkat akhir menyiapkan sistem yang merekodkan geomap pekebun kecil, bagi memastikan eksport sawit ke Eropah tidak hanya melibatkan syarikat besar dan mematuhi keperluan EUDR.


Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penelitian itu merangkumi penilaian kriteria penanda aras negara yang berada di bawah bidang tugas pelbagai kementerian.

"Antara langkah itu adalah penyelarasan laporan data hutan dan penguatkuasaan perundangan berkaitan perhutanan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang yang melindungi hak asasi manusia termasuk hak komuniti pribumi oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Langkah lain adalah penekanan elemen kemampanan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai status perkembangan dan pencapaian kementerian dalam usaha mengeluarkan Malaysia daripada status "risiko standard" di bawah EUDR.

Sementara itu, Johari berkata kerajaan telah mewujudkan sistem kebolehjejakan nasional bagi sektor sawit sebagai sebahagian daripada pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bagi memastikan eksport sawit tidak hanya dijalankan oleh syarikat besar.

Katanya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini berada di peringkat akhir untuk menyiapkan sistem berkenaan.

"Melalui sistem ini, semua 'geomap' atau peta geografi dan geolokasi setiap pekebun kecil akan direkodkan, dan syarikat besar boleh membeli sawit daripada pekebun kecil yang telah direkodkan serta memasukkannya dalam sistem kebolehjejakan mereka untuk dieksport ke negara Eropah.

"Sebaliknya, mana-mana pekebun kecil yang tidak mempunyai 'geomap' atau membuka kawasan baharu sehingga menyebabkan penebangan hutan, buah (sawit) mereka tidak akan diterima dalam sistem ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkenaan mekanisme sokongan digital dan sistem kebolehjejakan yang sedang dibangunkan bagi memastikan pekebun kecil tidak terpinggir akibat keperluan kebolehjejakan yang ketat di bawah peraturan EU.

-- BERNAMA




#EUDR #JOHARI ABDUL GHANI #Kesatuan Eropah #Malaysia