[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Malaysia terikat dengan undang-undang dalam siasatan pembunuhan Jong Nam - PM Najib

Bernama 20/02/2017 | 11:54 MYT
PM NAJIB: Korea Utara harus memahami bahawa Malaysia terikat dengan undang-undangnya sendiri dalam siasatan terhadap pembunuhan Kim Jong Nam. - Gambar fail
Korea Utara harus memahami bahawa Malaysia terikat dengan undang-undangnya sendiri dalam siasatan terhadap pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata Malaysia tidak berniat untuk memburuk-burukkan Korea Utara.
"Polis dan doktor kita sangat profesional dan saya yakin sepenuhnya bahawa mereka amat objektif dalam apa yang mereka lakukan," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan satu forum antarabangsa, di sini, hari ini.
BACA: Pembunuhan Kim Jong Nam: Korea Utara desak sertai siasatan bersama
BACA: Wisma Putra arah Duta Malaysia pulang, panggil Duta Korea Utara beri penjelasan
Najib mengulas cadangan Korea Utara bagi siasatan bersama dengan Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, berkata cadangan itu dibuat selepas "terlalu banyak persoalan dan percanggahan" yang timbul daripada siasatan yang dijalankan terhadap kematian Jong-num.
Pada 13 Feb, Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita tiba-tiba menekup mukanya dengan kain mengandungi cecair yang dipercayai racun.
Jong-nam, yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol, meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di klia2 dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Kang Chol #kim jong nam #Kim Jong-un