Malaysia terus komited laksana pengurusan hutan mapan

Malaysia terus komited untuk melaksanakan Pengurusan Hutan Mapan (SFM) selaras dengan keputusan yang dicapai semasa persidangan UNCED.

Selain penubuhan PRF, pelbagai rangkaian kawasan yang dilindungi juga telah ditubuhkan untuk melindungi biodiversiti. - Gambar fail | Astro Awani
Malaysia terus komited untuk melaksanakan Pengurusan Hutan Mapan (SFM) selaras dengan keputusan yang dicapai semasa persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) 1992, Persidangan Rio+20 pada 2012 dan Sidang Kemuncak Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa Bersatu baru-baru ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Kami berpegang teguh kepada komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan di negara kami diliputi hutan dan pokok. Keupayaan untuk mengekalkan komitmen ini adalah hasil pelaksanaan SFM secara berterusan untuk memastikan penggunaan, pemuliharaan dan perlindungan sumber hutan secara efektif.

"Kami telah menubuhkan Hutan Simpanan Kekal (PRF)/ Estet Hutan kekal (PFE) dan memberi keutamaan kepada konsep Pemuliharaan Hutan Bernilai Tinggi serta melindungi ekosistem kritikal seperti kawasan tadahan air.

"Selain penubuhan PRF, pelbagai rangkaian kawasan yang dilindungi juga telah ditubuhkan untuk melindungi biodiversiti," katanya pada majlis penutupan Persidangan Antarabangsa mengenai Heart of Borneo (HOB) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalan ketua setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Azimuddin Bahari.

Wan Junaidi berkata Kerajaan Persekutuan akan terus membantu Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan Inisiatif HOB.

Beliau berkata, dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM34.46 juta bagi melaksanakan pelbagai projek dan aktiviti di bawah Inisiatif HOB dan memperuntukkan lagi lebih RM75.07 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

"Kejayaan pelaksanaan semua aktiviti di bawah HOB juga membayangkan dedikasi dan sokongan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan Malaysia mengiktiraf kepentingan Inisiatif HOB, yang selaras dengan yang dasar, rancangan dan program sedia ada berhubung pembangunan mampan, penggunaan dan pemuliharaan tanah di peringkat negeri dan nasional.

"Kami menyifatkan HOB sebagai inisiatif penting yang secara langsung akan menyumbang ke arah kebaikan dalam pengurusan dan pemuliharaan hutan.

Inisiatif HOB ialah usaha rentas sempadan antara Brunei, Indonesia dan Malaysia bagi pemuliharaan dan pembangunan mapan untuk meningkatkan kebajikan mereka yang tinggal di pulau dan mengurangkan penebangan hutan, degradasi hutan dan kepupusan biodiversiti dan ekosistem.

-- BERNAMA