Skip to main content

Malaysia

Malaysia tetap tegas sekat kemasukan warga Israel - PM Anwar

SEREMBAN, 22 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari bergambar bersama maskot rasmi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para Asean ke-14 yang dikenali sebagai "Tuah" pada program Jelajah Rakan Muda @ Paroi Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar bersama Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari bergambar bersama maskot rasmi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para Asean ke-14 yang dikenali sebagai "Tuah" pada program Jelajah Rakan Muda @ Paroi Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan rasa tidak berpuas hati atas keputusan itu.

Anwar berkata pendirian itu berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Beliau berkata dasar menyekat kemasukan warganegara Israel ke Malaysia bukannya perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak puluhan tahun dan sepatutnya sudah sedia maklum oleh pihak AS.

“Beberapa Ahli Parlimen Amerika telah membuat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia untuk menyekat kemasukan rakyat Israel dalam syarikat-syarikat dan sebagainya. 

“Mereka boleh buat ugutan, tapi saya akan tegas pertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Rakan Muda di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas kenyataan lapan Ahli Kongres AS semalam, yang menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Lapan Ahli Kongres daripada parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

“Mana mungkin wakil-wakil rakyat negara mereka boleh memadamkan kenyataan tentang pembunuhan anak-anak dan
rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menaklukkan negeri dan tidak mampu bercakap apa-apa.

“Malaysia ini negara merdeka, kita bebas menyuarakannya,” kata beliau.

Mengulas sama ada perkara itu boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-AS, Anwar berkata ia tidak sepatutnya memberikan kesan.

Mengenai dakwaan mengaitkan hubungan Malaysia dengan Hamas, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak pernah berselindung mengenai pertemuannya dengan pemimpin kumpulan itu sebelum ini, yang dibuat atas dasar menyatakan simpati terhadap keluarga yang menjadi mangsa pengeboman
dan pembunuhan. 

Sehubungan dengan itu, beliau menolak kritikan Ahli Kongres AS berkenaan yang disifatkan sebagai tidak berasas.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement