[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Malaysia tiada pilihan selain laksana perubahan besar hadapi cabaran global - PM

Pia Ernadya 18/04/2025 | 16:11 MYT
Malaysia tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan perubahan besar bagi memperkukuh negara ketika berdepan cabaran global semasa, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
SUBANG JAYA: Malaysia tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan perubahan besar bagi memperkukuh negara ketika berdepan cabaran global semasa, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim tegaskan Malaysia perlu lakukan perubahan besar, namun tidak boleh tiru model China kerana perbezaan sistem dan politik.
  • Beliau berkata penyasaran subsidi perlu disertai penjelasan jelas kepada rakyat, termasuk isu pemberian subsidi kepada warga asing dan golongan kaya.
  • Anwar juga gesa tinggalkan naratif lama berkaitan kaum dan agama agar negara tidak ketinggalan dalam isu global seperti tenaga dan kecerdasan buatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh menjadikan China sebagai rujukan dalam pelaksanaan perubahan tersebut, memandangkan perbezaan ketara dari segi sistem dan latar politik kedua-dua negara.
"Kita tak diberi pilihan, tetapi sudah tentunya pelaksanaan kita tidak mungkin sama seperti negara China. Ini kerana sistem dan politiknya berbeza.
"Kita masih bergelut dengan suasana keputusan rakyat. Jadi, harus ada perancangan tetapi (juga) penjelasan yang agak rapi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Siri 5 di sini, pada Jumaat.
Mengulas isu penyasaran subsidi, Anwar berkata kerajaan pimpinannya turut berdepan dengan persepsi. Namun, kata beliau, segala keputusan dilakukan kerajaan perlu diterangkan dengan jelas kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menegur sikap sebahagian pihak yang masih terperangkap dalam naratif lapuk berkaitan isu kaum dan agama.
Menurutnya, jika tiada pendekatan radikal untuk membawa naratif baharu, negara berisiko tercicir dalam perkembangan global.
"Balik-balik ke soal kaum dan agama, saya tidak kata ia tidak penting, tetapi naratif itu akan membuatkan kita lesu dan kita tak akan ke depan.
"Kita sekarang bercakap pasal tenaga, pasal kecerdasan buatan (AI). (Tetapi) kita masih dalam naratif (sedemikian)," tambahnya.
Dalam pada itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan bahawa Malaysia perlu menyediakan lebih banyak peluang serta membina keupayaan pembangunan bakat bagi membolehkan rakyat di luar negara pulang dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Jelasnya, ini kerana, walaupun Malaysia mempunyai hampir satu juta disapora di luar negara, namun ramai antara mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang setara dengan pengalaman serta kemahiran yang dimiliki apabila kembali ke tanah air.
"Apa yang kita perlukan ialah peluang untuk mereka kembali dan berkhidmat kepada negara. Kita perlu pastikan negara ini bersedia untuk menerima bakat yang ada di luar sana.
"Kita ada dua juta diaspora, dan 25 peratus daripada mereka berada di peringkat eksekutif tertinggi serta sangat berbakat, tetapi kadang-kadang apabila mereka pulang, mereka kata tiada kerja yang sepadan dengan pengalaman dan kemahiran mereka," ujarnya.
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #perubahan besar #cabaran global #China