MALAYSIA

Malaysia tidak harus tutup pintu ruang dagang kerana beza politik, dasar luar - PM Anwar

Bernama 27/09/2025 | 14:46 MYT
Anwar turut menegaskan walaupun Malaysia berdepan dengan suasana ekonomi global yang tidak menentu, berkat kestabilan politik serta kepercayaan teguh para pelabur, negara terus mencatat pertumbuhan yang mampan. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai negara yang berdagang tidak seharusnya menutup pintu ruang dagangan hanya kerana perbezaan politik atau dasar luar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hal ini berikutan ekonomi negara bergantung kuat kepada rantaian ekonomi global.

Anwar turut menegaskan walaupun Malaysia berdepan dengan suasana ekonomi global yang tidak menentu, berkat kestabilan politik serta kepercayaan teguh para pelabur, negara terus mencatat pertumbuhan yang mampan.

"Kebijaksanaan menyeimbangkan pendirian moral dengan kepentingan ekonomi merupakan kunci dan kayu ukur utama.

"Keupayaan untuk mengekalkan keseimbangan inilah yang meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang relatifnya kecil tapi suaranya lantang dan tegas di peringkat antarabangsa," kata beliau menerusi satu hantaran di laman X hari ini.



Anwar memberitahu walaupun terdapat ketidaksefahaman isu semasa dengan negara luar seperti China, India dan negara-negara tetangga lain dalam ASEAN mahupun Eropah, ruang wacana masih ada untuk mencari titik temu dan dalam pada masa sama mengimbanginya dengan keperluan ekonomi negara.

"Sekiranya jalan konflik dipilih, apakah kita bersedia untuk mengorbankan kekuatan ekonomi negara, sebagai contoh, ratusan bilion eksport semikonduktor ke Amerika Syarikat atau China.

"(Jadi) akan timbul persoalan, siapa sebenarnya yang kita hukum? rakyat kita sendiri atau pihak yang sepatutnya?," soal beliau.

Terdahulu, Anwar menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 bersama Pemain Industri Pelancongan serta Pembuatan bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Banda Hilir, Melaka.

Beliau berkata penyediaan Belanjawan Negara 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat terutama dalam menangani kos sara hidup.

Menurut beliau, setiap negeri ada kekuatan tersendiri seperti Melaka yang memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan pembuatan sekali gus menyumbang kepada kerana prestasi negeri yang sangat memberangsangkan.

-- BERNAMA

#perdagangan #Malaysia #politik #dasar luar #Anwar Ibrahim