Malaysia tidak perlu terikat dengan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengenai dasar kerajaan yang membolehkan pasangan sejenis untuk berkahwin, kata Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Nasharudin Mat Isa.

Beliau berkata sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, Malaysia mempunyai hak untuk mentadbir dan mengurus negaranya sendiri.

Nasharudin turut menyifatkan kenyataan Obama itu sebagai satu campur tangan urusan pentadbiran negara ini.

"Saya berasa sedikit kesal dengan kenyataan Obama sebab saya lihat kenyataan itu sebagai satu campur tangan kepada urusan dalam negeri. Jika Obama mahu memberi pandangan, itu hak beliau.

"Namun sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia perlu berpegang kepada pendirian kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam sebagai agama rasmi dan sebagai sebuah negara berdaulat, kita tidak perlu terikat dengan cadangan pihak luar," kata Nasharudin di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Obama pada Jumaat lalu dalam satu sesi town hall dengan golongan muda di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di sebuah universiti swasta di Subang Jaya.

Beberapa media tempatan melaporkan Obama sebagai berkata polisi kerajaan mengenai perkahwinan perlu adil kepada semua rakyat termasuk golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Obama juga berkata walalupun setiap individu mempunyai agama dan tradisi budaya tersendiri, namun tiada sesiapa boleh dipaksa untuk berkelakuan mengikut cara tertentu, lapor portal berita The Malaysian Insider.

Dalam laporan yang sama Obama turut dipetik sebagai berkata : "Jika gereja, masjid atau kuil tidak mengiktiraf perkahwinan sebegini, mereka tidak patut dipaksa untuk mengahwinkan seseorang bertentangan dengan kepercayaan mereka.

"Tetapi perkahwinan sebagai institusi sivil daripada negara sepatutnya adalah untuk semua, bukan hanya sesetengah orang sahaja. Jadi kesimpulannya, polisi kerajaan patut melayan semua sama rata di sisi undang-undang," tambahnya.