MALAYSIA

Malaysia tonjol pembinaan inovatif, mampan di Expo Dunia 2025 Osaka

Bernama 08/07/2025 | 04:50 MYT
Inisiatif itu anjuran bersama KKR dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah penyelarasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). - Bernama
KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Malaysia 2025 membuka tirai pada semalam dan dijadual berlangsung hingga 13 Julai di Pavilion Malaysia di Yumeshima bersempena Ekspo Dunia 2025 Osaka.


Ringkasan AI
  • Minggu Pembinaan Malaysia 2025 berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Osaka, menampilkan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi digital, pembinaan mampan dan kerjasama industri global.
  • Program ini dianjurkan oleh KKR dan CIDB dengan pelbagai acara seperti seminar, sesi padanan perniagaan, demonstrasi teknologi pembinaan terkini serta pameran projek infrastruktur dan model bangunan oleh syarikat Malaysia.
  • MoC antara ABM Sarawak dan Kumiai Japan akan dimeterai bagi memperkukuh pemindahan teknologi, dengan sasaran utama program ini adalah untuk menarik pelaburan dan meletakkan Malaysia sebagai hab pembinaan pintar serantau.


Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), program ini mengetengahkan Malaysia selaku peneraju transformasi digital, pembinaan mampan dan kerjasama industri di peringkat antarabangsa yang membawa tema "Digitally: Innovate, Infuse, Construct".

"Ini kesempatan untuk menempatkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri pembinaan yang dipacu oleh inovasi, pendigitalan dan kemampanan," menurut kenyataan KKR hari ini.

Inisiatif itu anjuran bersama KKR dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah penyelarasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Acara berkenaan juga sebahagian daripada penyertaan menyeluruh Malaysia di ekspo bertemakan "Designing Future Society for Our Lives" itu, dengan Pavilion Malaysia membawa tema "Weaving a Future in Harmony".

Turut akan dianjurkan pada program berkenaan, termasuk seminar anjuran KKR dan CIDB, majlis makan malam Malaysia-Jepun, seminar Lebuh Raya Malaysia dan profesional Malaysia, serta sesi perkongsian pakar dan padanan perniagaan bersama pihak berkepentingan dari Jepun.

Pengunjung ke Pavilion Malaysia juga berpeluang menyaksikan secara langsung teknologi pembinaan terkini dari Malaysia, termasuk sistem pemantauan tapak I-Supervision dan sensor papan tanda keselamatan jalan pintar oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pameran model bangunan oleh Veritas.

Video sorotan projek infrastruktur seperti Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), PLUS Malaysia Bhd dan IJM Construction turut dipaparkan.

"Demonstrasi produk secara langsung juga akan dijalankan oleh 21 syarikat Malaysia yang menyertai delegasi CIDB," menurut kenyataan itu.

Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak dan Kumiai Japan bakal memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi membina keupayaan dan memudahkan pemindahan pengetahuan serta teknologi dalam industri pembinaan Malaysia.

"Sasaran utama program berkenaan ialah pemaju antarabangsa, pihak berkepentingan pembinaan Jepun, pembuat dasar dan profesional industri, bertujuan menggalakkan kerjasama rentas sempadan, mempromosikan pelaburan serta meletakkan Malaysia sebagai hab pembinaan pintar dan mampan di rantau ini," menurut KKR.

-- BERNAMA




#KKR #Expo Dunia 2025 Osaka #Pavilion Malaysia #Malaysia