MALAYSIA
Malaysia tuan rumah Forum Kemahiran Global 2025, pertama kali diadakan di luar Geneva

Sim (empat, kiri) mengumumkan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Global Skills Forum (GSF) 2025 pada sidang media di Geneva, 13 Jun 2025. - Foto Kementerian Sumber Manusia
GENEVA: Malaysia mencatat sejarah apabila dipilih menjadi tuan rumah Global Skills Forum (GSF) 2025, sekali gus menjadi negara pertama menganjurkan acara berprestij anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu di luar Geneva.
Pengumuman itu dibuat Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong pada satu acara peringkat tinggi yang dianjurkan bersama ILO di sini, pada Jumaat.
Forum utama akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Okt 2025 dan menjadi sebahagian daripada inisiatif ASEAN Year of Skills (AYOS) yang diterajui Malaysia sempena kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sim berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan aktif negara dalam memacu pembangunan modal insan, reformasi pasaran buruh dan transformasi tenaga kerja di peringkat serantau dan global.Kali pertama dianjurkan di Geneva pada 2024, GSF edisi kedua ini membawa makna besar kepada rantau Asia Tenggara, khususnya dalam usaha menyepadukan sistem kemahiran dan melindungi tenaga kerja masa depan.
Dalam ucapannya, Sim menegaskan, forum ini bukan sekadar membincangkan soal kemahiran masa depan, tetapi turut menyentuh aspek keadilan dalam dunia pekerjaan.
"Sama ada anda seorang penulis kod di Hanoi, penunggang penghantar di Jakarta atau pekerja kilang di Kuala Lumpur, pekerjaan anda wajar dihormati, keselamatan anda perlu dilindungi dan kemahiran anda patut dilaburkan," katanya.
Beliau turut mengumumkan peluasan platform pembelajaran dalam talian negara, e-LATiH, yang kini menawarkan akses percuma dan tanpa sempadan kepada kandungan latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia.
Selain itu, Sim berkata, Malaysia juga membuka National Training Week (NTW) kepada semua rakyat ASEAN buat julung kali, dengan lebih 65,000 kursus pembangunan kemahiran ditawarkan secara dalam talian dan fizikal dari 14 hingga 21 Jun ini.
"Kursus-kursus tersebut merangkumi pelbagai bidang, termasuk kepintaran buatan, pendigitalan, teknologi hijau dan kepimpinan.
"GSF 2025 dijangka menghimpunkan lebih 200 delegasi dari 16 negara yang terdiri daripada menteri, pakar buruh, pemimpin kesatuan, tokoh industri serta wakil organisasi multilateral.
"Forum ini bakal menjadi pentas penting untuk membincangkan cabaran utama tenaga kerja serantau seperti perlindungan kepada pekerja gig, peluasan liputan keselamatan sosial, serta keselamatan pekerjaan dalam era digital dan kerja jarak jauh," katanya.
Sim berkata, Malaysia turut mengambil langkah proaktif dengan merancang untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig di Parlimen pada separuh kedua tahun ini, bagi memastikan kumpulan pekerja ini dilindungi secara menyeluruh.
"Selain itu, GSF 2025 juga akan menampilkan peranan utama sektor swasta dalam memperkasa inovasi kemahiran, melalui penglibatan langsung majikan, organisasi industri dan penyedia latihan dalam membentuk sistem pembangunan tenaga kerja yang tangkas dan berdaya saing.
"Antara tarikan utama forum ini termasuk sesi panel industri, pameran teknologi latihan terkini seperti kecerdasan buatan dan realiti maya, serta dialog strategik antara sektor awam dan swasta dalam membentuk masa depan tenaga kerja rantau ini.
"Malaysia juga bakal melancarkan Dasar Sumber Manusia Negara 2024–2030 sebagai rujukan kerjasama serantau ASEAN," ujar beliau.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi forum di www.aseanyearofskills.org.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami