KUALA LUMPUR: Di sebalik peningkatan ketara jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia, aspek kualiti insan perlu menjadi keutamaan utama dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa meskipun Malaysia kini menjadi tumpuan dengan lebih 160,000 pelajar asing, yang merupakan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, kejayaan itu tidak harus diukur semata-mata dari segi angka, sebaliknya pada kemampuan melahirkan insan berilmu dan berakhlak.
Advertisement
“Tanggungjawab kita bukan sekadar menarik pelajar luar, tetapi memastikan universiti kita mempunyai mutu yang melayakkan mereka sebagai institusi pendidikan tinggi sebenar,” katanya dalam ucapan di majlis Temu Anwar dan peluncuran pembinaan baharu Universiti UCSI, pada Selasa.
Beliau turut memberi peringatan agar institusi tidak tersasar daripada matlamat asal pendidikan.
“Kita perlu berhati-hati supaya universiti tidak menjadi sekadar ‘kilang sijil’. Saya minta Kementerian Pendidikan Tinggi memantau dengan rapi,” katanya.
Mengulas perkembangan pesat dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan percambahan pusat data, Perdana Menteri berkata kemajuan tersebut tidak boleh mengabaikan pembentukan nilai kemanusiaan.
“Negara sedang memacu pertumbuhan teknologi baharu, tetapi ini tidak boleh meremehkan kepentingan mendidik manusia. Nilai kemanusiaan, etika dan akhlak mesti dirangkul sebagai kekuatan,” tegasnya.
Menurut beliau, cabaran sebenar adalah menyeimbangkan antara kemajuan teknologi dengan pembinaan sahsiah.
“Sementara kita menggapai bintang di langit, kita tidak boleh meninggalkan landasan, iaitu budaya, sahsiah dan nilai akhlak kita. Di situlah keunikan kita,” katanya lagi.
Beliau menambah, elemen seni, budaya dan muzik juga memainkan peranan penting dalam membentuk manusia yang seimbang.
“Isu nilai adalah paksi dalam pentadbiran Madani. Bagaimana kita merangkul semua ini, iaitu teknologi, ilmu dan nilai. Di situlah ujian sebenar untuk kita,” katanya.