Skip to main content

Malaysia

Malaysia usul projek perolehan berpusat ubat-ubatan rantau Pasifik Barat

Malaysia mengusulkan agar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat (WPRO) segera merintis projek perolehan berpusat bagi ubat-ubatan terpilih bagi menangani keterjaminan ubat-ubatan di rantau ini, kata Dzulkefly. - Gambar Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
Malaysia mengusulkan agar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat (WPRO) segera merintis projek perolehan berpusat bagi ubat-ubatan terpilih bagi menangani keterjaminan ubat-ubatan di rantau ini, kata Dzulkefly. - Gambar Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Advertisement

Ringkasan AI

  • Malaysia mengusulkan WHO Pasifik Barat melaksanakan projek perolehan berpusat ubat-ubatan terpilih bagi menangani isu keterjaminan bekalan di rantau ini.
  • Cadangan turut meliputi pembangunan Papan Pemuka Keselamatan Ubat ASEAN sebagai sistem amaran awal berkaitan harga, stok dan kapasiti pembuatan ubat.
  • Malaysia telah melaksanakan perolehan berpusat domestik, mengekalkan stok penimbal tiga bulan dan menerajui inisiatif Jaminan Ubat-ubatan dan Kesediaan Berdikari ASEAN.

KUALA LUMPUR: Malaysia mengusulkan agar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat (WPRO) segera merintis projek perolehan berpusat bagi ubat-ubatan terpilih bagi menangani keterjaminan ubat-ubatan di rantau ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu amat mendesak memandangkan hampir seluruh rantau berkenaan kini mendepani cabaran kritikal akibat rantaian bekalan yang terjejas, ketidaktentuan pasaran dan kebergantungan tinggi terhadap import Bahan Farmaseutikal Aktif (API) yang diburukkan lagi oleh konflik geopolitik antarabangsa.

"Diplomasi dan solidariti serantau pada hari ini mesti diterjemahkan melangkaui sekadar ungkapan hasrat murni. Demi melindungi kelangsungan sistem kesihatan di Pasifik Barat, kita menuntut anjakan tindakan yang strategik, berani dan berpaksikan hasil nyata yang boleh diukur," katanya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.

Usul berkenaan disampaikan beliau pada sesi Meja Bulat Peringkat Menteri bersempena dengan Pertemuan Jawatankuasa Serantau WHO WPRO Ke-77.

Beliau berkata, projek perintis perolehan berpusat itu perlu melibatkan ubat-ubatan terpilih yang mempunyai persaingan pembekal yang sihat serta keperluan guna sama yang jelas, selain wajib dilaksanakan secara telus.

Bagi menyokong kelancaran mekanisme berkenaan, Dzulkefly mencadangkan pembangunan Papan Pemuka Keselamatan Ubat ASEAN sebagai sistem amaran awal yang menghubungkan maklumat harga dengan taburan bekalan, ketersediaan stok dan kapasiti pembuatan.

Beliau turut menegaskan pemantauan harga semata-mata tidak mampu menjamin sekuriti ubat-ubatan secara mutlak, sebaliknya rantau ini memerlukan pakatan pembuatan serantau yang strategik menerusi inisiatif pelaburan bersama bagi menampung kelompangan pengeluaran.

"Bagi merealisasikan kerangka besar ini, ia menuntut kepimpinan negara peneraju yang jelas di bawah Pelan 2026-2030, lengkap dengan kebertanggungjawaban pembiayaan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas," katanya.

Pada peringkat domestik, beliau berkata, Malaysia telah menginstitusikan perolehan berpusat rentas fasiliti kesihatan kerajaan, mengekalkan stok penimbal ubat-ubatan selama tiga bulan, serta menerajui inisiatif Jaminan Ubat-ubatan dan Kesediaan Berdikari ASEAN (ADSSR).

Dzulkefly berkata, Malaysia akan terus memanfaatkan platform diplomasi kesihatan global bagi memastikan kelangsungan rawatan rakyat terus terpelihara tanpa sebarang kompromi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement