MALAYSIA

Malaysia zahir solidariti bersama Afghanistan dan Sudan

Afiezy Azaman 03/09/2025 | 02:00 MYT
Beberapa lelaki Afghanistan mencari barangan mereka di celah runtuhan sebuah rumah yang musnah selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6 di Dara Mazar, wilayah Kunar, Afghanistan, pada Isnin lalu. - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan bencana gempa bumi di Afghanistan dan kejadian tanah runtuh besar di Sudan yang meragut ribuan nyawa.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia turut berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi tersebut.

“Saya amat sedih dengan kejadian gempa bumi yang melanda Afghanistan sehingga meragut banyak nyawa serta meninggalkan keluarga dalam kedukaan dan kesusahan.

“Saya juga berdukacita dengan berita tanah runtuh besar di Sudan yang mengorbankan lebih seribu nyawa. Doa dan ingatan saya bersama semua yang kehilangan insan tersayang,” kata Anwar dalam hantaran di akaun media sosial beliau, hari ini.



Menurut beliau, Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti bersama rakyat Afghanistan dan Sudan dalam saat duka dan kesedihan ini.

Pada Selasa, seramai 1,411 orang terbunuh dan 3,124 cedera dalam gempa bumi kuat berukuran 6.0 Magnitud melanda Timur Afghanistan.

Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan lebih 5,400 rumah yang musnah di Kunar.

Manakala lebih 1,000 nyawa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di sebuah perkampungan di kawasan Pergunungan Marra, barat Sudan.



#gempa bumi afghanistan #tanah runtuh Sudan #solidariti Malaysia #PM Anwar Ibrahim