NATIONAL
Malaysia-Azerbaijan perkukuh hubungan dua hala melalui lawatan peringkat tinggi

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin telah menamatkan lawatan kerja ke Azerbaijan dari 15 hingga 16 April, sekali gus membuka jalan ke arah hubungan Malaysia-Azerbaijan yang lebih kukuh. - Foto FB Mohamad Alamin
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin telah menamatkan lawatan kerja ke Azerbaijan dari 15 hingga 16 April, sekali gus membuka jalan ke arah hubungan Malaysia-Azerbaijan yang lebih kukuh serta merintis kerjasama yang lebih meluas pada masa akan datang.
Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata lawatan itu diadakan sempena Konsultasi Politik Malaysia-Azerbaijan Kedua di ibu negara Azerbaijan, Baku.
Menurut kementerian itu, lawatan tersebut merupakan satu langkah penting dalam hubungan diplomatik dua hala, dengan Mohamad bersama-sama mempengerusikan konsultasi berkenaan bersama Timbalan Menteri Luar Azerbaijan Elnur Mammadov.
"Konsultasi ini merupakan platform penting bagi kedua-dua negara menilai kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka bidang kerjasama baharu."Perbincangan utama tertumpu kepada peluasan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan, teknologi hijau dan pertukaran budaya," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata kedua-dua pihak turut memperteguh komitmen kukuh untuk memajukan kepentingan bersama dan bersetuju membangunkan pelan tindakan komprehensif bagi memacu inisiatif masa depan.
Kenyataan itu turut menyebut Mohamad telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov, yang menyaksikan kedua-dua pihak memperkukuh hubungan persahabatan sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1993.
Mohamad turut menyampaikan surat jemputan rasmi daripada Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Menteri Bayramov untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Selain itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan Hal Ehwal Dasar Luar, Pentadbiran Presiden Azerbaijan, Hikmet Hajiyev.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperdalam kerjasama dalam bidang strategik termasuk pertukaran antara rakyat, keterhubungan dan kerjasama dalam kerangka serantau dan pelbagai hala.
Sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan, Mohamad turut melawat Universiti ADA, sebuah institusi terkemuka yang bernaung di bawah Kementerian Luar Azerbaijan.
Menurut kenyataan itu, lawatan tersebut menyerlahkan komitmen Malaysia bagi mempromosikan jalinan kerjasama pendidikan dan memupuk pertukaran antara rakyat, selaras dengan peranan penting pendidikan sebagai satu daripada teras utama pendekatan diplomasi secara lembut.
Beliau turut mengadakan majlis makan malam bersama warga Malaysia yang menetap di Azerbaijan.
Wisma Putra menambah, pertemuan santai itu mencerminkan komitmen Kerajaan Malaysia untuk terus berinteraksi dengan rakyatnya di luar negara, selain menjadi platform untuk berkongsi maklumat terkini dan mengeratkan hubungan komuniti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami