Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Malaysia–Bangladesh sepakat tangani isu Rohingya, keamanan di Myanmar

Seth Akmal 12/08/2025 | 04:25 MYT
Prof Dr Muhammad Yunus (kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berjabat tangan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh itu kini berada di Malaysia sempena lawatan rasmi. - Gambar Reuters.
PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh sepakat memperkukuh kerjasama dalam menangani isu pelarian Rohingya yang telah berlarutan sejak sekian lama, di samping mengutamakan usaha mencapai keamanan di Myanmar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus menyatakan komitmen itu dalam sidang media bersama di Kompleks Perdana Putra, di sini, pada Selasa, selepas mengadakan pertemuan rasmi.

Yunus berkata, krisis pelarian Rohingya merupakan cabaran besar buat Bangladesh yang kini menampung populasi besar pelarian dari Myanmar.

Sehubungan itu, beliau berharap Malaysia, khususnya sebagai negara berpengaruh dalam ASEAN dapat memainkan peranan penting dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang yang mampan.

“Bila anda (Anwar) menyebut mengenai isu Rohingya, ia memang masalah besar. Kami ingin mendapatkan bantuan daripada Malaysia, khususnya selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan Malaysia adalah rakan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar mengakui beban besar yang ditanggung Bangladesh dan menegaskan, keamanan di Myanmar adalah keutamaan serantau yang tidak boleh dilengah-lengahkan.

“Sudah tentu kami bimbang dengan beban yang ditanggung Bangladesh dalam menampung jumlah besar pelarian Rohingya. Oleh itu, memastikan keamanan di Myanmar menjadi keutamaan besar. Bantuan kemanusiaan segera juga diperlukan, pertama untuk pelarian, kemudian kepada mangsa gempa bumi,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar memuji langkah proaktif Bangladesh yang mengambil inisiatif di forum pelbagai hala di New York, Qatar dan Malaysia untuk membincangkan isu tersebut.

Tambahnya, Menteri Luar bersama pasukan dari Indonesia, Filipina dan Thailand akan melawat Myanmar dalam beberapa minggu akan datang bagi memastikan keamanan dapat dicapai, sekali gus menghentikan kekejaman terhadap rakyat negara itu, khususnya etnik Rohingya.

Terdahulu, Yunus diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, disertai pemeriksaan kawalan kehormatan dan lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Lawatan rasmi ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Pertemuan ini turut menandakan pengukuhan hubungan dua hala Malaysia–Bangladesh, bukan sahaja dalam bidang diplomasi dan perdagangan, tetapi juga kerjasama kemanusiaan yang lebih strategik di rantau ini.



#Anwar Ibrahim #Rohingya #Bangladesh #Malaysia