[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Malaysia-China perkukuh kerjasama AI dan teknologi

Amirul Aiman 17/04/2025 | 03:20 MYT
Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama dalam teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), pembuatan pintar dan teknologi kuantum sebagai pemacu utama ke arah komuniti berkongsi masa depan yang lebih strategik.
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama dalam teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), pembuatan pintar dan teknologi kuantum sebagai pemacu utama ke arah komuniti berkongsi masa depan yang lebih strategik.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis, Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan syarikat China dalam pembangunan rangkaian 5G serta memperkukuh kestabilan rantaian bekalan teknologi kritikal.
“Kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka potensi kerjasama dalam rantaian industri semikonduktor setakat yang boleh dilaksanakan bagi mengekalkan kestabilan rantaian industri dan bekalan,” jelas kenyataan itu.
Seiring perkembangan ini, kedua-dua negara akan mempelopori kerjasama serantau dalam bidang ekonomi baharu menerusi pelaksanaan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan 2024, dengan tumpuan kepada ekonomi digital, hijau, biru dan pelancongan.
“Kedua-dua pihak akan mengembangkan kerjasama ekonomi masa depan, mempromosi pembangunan bersepadu, terselaras dan saling melengkapi serta mencapai integrasi mendalam dalam rantaian industri, nilai, data dan bakat,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam usaha menarik pelaburan berkualiti, kedua-dua negara bersetuju menambah baik perjanjian pelaburan dua hala dan menaik taraf inisiatif “Two Countries, Twin Parks” bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.
Sektor teknologi turut menjadi tumpuan utama, dengan kerjasama dalam penubuhan makmal bersama, pemindahan teknologi dan penyelidikan sains angkasa.
Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dari 15 hingga 17 April sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik menyaksikan satu babak baharu dimeterai dalam kerjasama strategik dua hala, khususnya dalam bidang teknologi masa depan.
#Lawatan Negara #Malaysia-China #Presiden Xi Jinping #Two Countries Twin Parks #kecerdasan buatan