MALAYSIA

Malaysia-Itali senada, keamanan dan kestabilan kunci kemajuan ekonomi

Harits Asyraf Hasnan 02/07/2025 | 11:18 MYT
Anwar berkata Malaysia wajar diberi perhatian lantaran kedudukan yang strategik di dalam ASEAN selain menunjukkan kemajuan ekonomi yang progresif. - Gambar/ PMO
ROM: Malaysia dan Itali senada bahawa keamanan dan kestabilan adalah kunci kepada kebebasan perdagangan yang menjadi asas kepada kemajuan ekonomi global selama ini.

Ringkasan AI
  • Malaysia dan Itali menekankan kepentingan keamanan dan kestabilan sebagai asas kepada kebebasan perdagangan dan kemajuan ekonomi global, dengan Malaysia dilihat sebagai pusat strategik dalam ASEAN.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Itali Antonio Tajani bersetuju untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, termasuk melalui rangkaian perjanjian perdagangan dan pelaburan baharu di rantau Asia Pasifik.
  • Itali mencatat peningkatan eksport ke ASEAN sebanyak 10.3 peratus pada tahun 2024, dengan Malaysia dikenal pasti sebagai negara berpotensi tinggi untuk pertumbuhan dan kerjasama ekonomi masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia wajar diberi perhatian lantaran kedudukan yang strategik di dalam ASEAN selain menunjukkan kemajuan ekonomi yang progresif.
“Malaysia, sebagai pusat kepada ASEAN, sangat komited terhadap kerangka ASEAN. Kita amat bertuah, ya walaupun terdapat sedikit isu kecil di sana sini (dalam ASEAN), ASEAN merupakan rantau paling aman di dunia dan ekonomi yang berkembang paling pesat di dunia.
“Dasar kita mengenai kepusatan (centrality) melibatkan keterlibatan dengan semua negara. Kita juga bertuah kerana kedudukan kita agak jauh dari Gaza dan Ukraine.
“Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada prinsip demokrasi dan reformasi dan yang lebih penting, kepada keamanan dan kestabilan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Meja Bulat Kerjasama Ekonomi Malaysia-Itali di sini pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Antonio Tajani.
Tajani dalam ucapannya turut senada dengan Anwar apabila menyatakan matlamat utama Itali adalah untuk membuka peluang perdagangan baharu melalui rangkaian perjanjian perdagangan termasuk bersama Kesatuan Eropah (EU) terutama di rantau Asia Pasifik.
“Asia merupakan salah satu kawasan rujukan utama bagi unjuran ekonomi Itali di peringkat global, baik kerana peranannya yang penting dalam geografi perdagangan antarabangsa mahupun permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi dari ekonomi yang sedang berkembang pesat di rantau tersebut,” katanya pada majlis sama.
Melihat hubungan Kuala Lumpur-Rom yang amat positif, Tajani yakin lebih banyak kerjasama yang boleh diteroka kedua-dua negara.
Malaysia merupakan antara negara utama yang dikenal pasti untuk pertumbuhan, dengan Tajani menekankan peningkatan penggunaan domestik, penambahbaikan infrastruktur dan keterbukaan yang semakin meningkat terhadap perdagangan antarabangsa.
Eksport Itali ke negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, meningkat sebanyak 10.3 peratus pada tahun 2024, mencecah €10.7 bilion.
Jumlah eksport Itali mencapai €623.5 bilion pada tahun 2024, menyumbang 40 peratus daripada KDNK negara. Eksport ke negara bukan EU meningkat kepada €305.4 bilion, peningkatan sebanyak 1.2 peratus.
Itali kini berada di kedudukan keenam sebagai pengeksport terbesar di dunia dan mendahului Eropah dalam kepelbagaian barangan eksport.
#Anwar Ibrahim #Itali #kemajuan ekonomi #ASEAN