Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Malaysia-Kemboja perkukuh kerjasama tangani isu dadah, keselamatan serantau

Bernama 14/10/2025 | 22:50 MYT
Ahmad Zahid mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Kemboja Neth Savoeun di Phnom Penh, pada Selasa. - Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja sepakat memperkukuh kerjasama dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah rentas sempadan serta mempertingkatkan keselamatan serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda berkenaan telah dibincangkan ketika pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Kemboja Neth Savoeun di Phnom Penh, pada Selasa.

"Pertemuan ini menjadi wadah penting untuk kami menilai semula pencapaian kerjasama sedia ada serta merangka langkah baharu ke arah memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang strategik khususnya dalam penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dadah rentas sempadan, rehabilitasi, perlindungan golongan belia serta kerjasama dalam aspek keselamatan serantau," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Pada pertemuan berkenaan, Ahmad Zahid turut berkongsi pendekatan Malaysia dalam memerangi dadah yang kini menumpukan kepada usaha pemulihan, termasuk pengoperasian pusat pemulihan aktif, pelaksanaan latihan teknikal melalui TVET, selain pelbagai inisiatif komuniti bagi menghapuskan stigma sosial terhadap bekas penagih.

Beliau berkata, Kemboja turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama khususnya melalui latihan, pertukaran kepakaran, dan melihat lokasi-lokasi pusat pemulihan seperti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

"Insya-Allah, kesepakatan yang terjalin ini akan membuka ruang kerjasama lebih dinamik dalam menangani cabaran bersama sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia dan Kemboja serta memperkukuh keselamatan, kestabilan dan masa depan serantau yang lebih makmur," katanya.

Ahmad Zahid kini berada di Kemboja bagi lawatan kerja selama tiga hari dari 13 hingga 15 Okt.

Beliau berada di Phnom Penh untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana ke-13 dan Persidangan ke-14 Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan ke-14 dan mesyuarat berkaitan.

-- BERNAMA



#Ahmad Zahid Hamidi #Malaysia-Kemboja #banteras dadah #keselamatan serantau