Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Malaysia-Turkmenistan komited perkukuh kerjasama bidang halal, TVET dan pelancongan

Bernama 17/11/2025 | 12:15 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan itu diadakan bersama Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia Muhammetnyyaz Mashalov yang mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkmenistan mengadakan perbincangan bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala yang terjalin lebih tiga dekad, antaranya dalam bidang halal, sumber asli serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Turkmenistan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang halal, sumber asli, serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
  • Perbincangan antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Duta Besar Turkmenistan, Muhammetnyyaz Mashalov, merangkumi bidang pelaburan, pelancongan, serta sektor teknikal dan latihan kemahiran.
  • Ahmad Zahid menegaskan hubungan erat ini mencerminkan potensi kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan serta berharap hubungan baik Malaysia-Turkmenistan akan terus berkembang untuk manfaat kedua-dua negara.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan itu diadakan bersama Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia Muhammetnyyaz Mashalov yang mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan turut merangkumi bidang pelaburan, pelancongan serta kerjasama dalam sektor teknikal dan latihan kemahiran.

"Turkmenistan merupakan antara rakan penting Malaysia di rantau Asia Tengah dengan pelaburan strategik Petronas, yang merupakan antara syarikat pelabur luar terbesar di sana.

"Hubungan erat ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap potensi kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan," katanya dalam catatan di Facebook.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan hormat Mashalov dan berharap hubungan baik Malaysia-Turkmenistan akan terus berkembang demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

-- BERNAMA


#Malaysia #Turkmenistan #kerjasama bidang halal #TVET