Malu sangat ke berbaju Melayu?

Zaihani Mohd Zain
Januari 11, 2019 03:21 MYT
BENTUK pakaian Melayu tidak kira untuk lelaki mahupun perempuan adalah suatu bentuk yang sangat mesra dengan tubuh badan kita. - Gambar hiasan
SETIAP kali musim sambutan hari raya atau majlis perkahwinan, saya selalu medengar keluhan berbunyi sebegini:" “Ahh, tak sukalah pakai baju Melayu/ baju kurung/ baju kebaya sebab panas, melekit, gatal...”
Macam-macam lagi sebenarnya alasan yang saya dengar. Persoalannya, malu sangat ke untuk mengenakan pakaian tradisional kita, tak selesa sangat ke? Panas sangat ke? Denim tu tak panas ke? Nampak marhain sangat ke sampai sanggup pakai kemeja T dengan seluar jeans untuk menghadiri majlis perkahwinan?
"Culture is a huge asset to society and private companies have to help preserve it..." kata Andrea Illy, Pengerusi Illycaffe S.p.A
Dan saya ingin menambah, tanggungjawab untuk memelihara budaya itu juga peranan kita bersama untuk memastikan sesuatu budaya itu bertahan hidup dan terus hidup.
Bentuk pakaian Melayu tidak kira untuk lelaki mahupun perempuan adalah suatu bentuk yang sangat mesra dengan tubuh badan kita.
Ia tidak sendat, kecuali kalau sengaja disendatkan potongannya, ada ruang pengudaraan; berbentuk lurus dan memberi ilusi kelangsingan kepada si pemakai.
Menutupi keseluruhan anggota badan lantas juga sangat sesuai untuk perempuan-perempuan yang berhijab. Dari segi rekaan, potongan, keselesaan, baju Melayu lulus kesemua kriteria di atas.
Di mana salahnya, di mana tak kenanya baju Melayu ni sehingga tidak disukai golongan golongan remaja sebegitu rupa?
Kata pereka fesyen ternama dunia. Tom Ford: "Dressing well is a form of good manners."
Saya amat terganggu bila melihat golongan remaja menghadiri majlis perkahwinan (Melayu) memakai pakaian yang tidak sesuai dengan ‘decorum’ majlis.
Salah seorang tetamu telah mengenakan trench coat, yeah you read that right - trench coat, iaitu helaian musim luruh yang selalu dipakai di negara barat dan negara negara beriklim sejuk.
Adakah kerana berfikir dirinya begitu fashion forward menjadi sebab untuk dia tidak mengendahkan etika berpakaian ketika menghadiri majlis pekahwinan itu?
Atau kita cuba bersangka baik, barangkali juga dia tak sempat pulang kerumah untuk menukar pakaiannya.
Tetapi saat saya terpandang susuk tubuhnya yang bersalutkan trench coat, hati saya berkata dia tidak menghormati majlis.
Kalaupun anda menghadiri majlis perkahwinan bukan Melayu, kod pakaiannya lazimnya dijelaskan iaitu - Formal/lounge suit, bukan trench coat ya!
Budaya merupakan identiti masyarakat dan maruah bangsa. Salah satu ‘komponen’ budaya adalah pakaian. Daripada pandangan pertama, orang akan mengenali diri kita daripada cara kita berpakaian.
Dan berpakaianlah kena pada tempatnya, jangan sesekali tidak menghormati majlis atau tidak menghormati tuan rumah.
Ketamadunan memakan masa yang lama, beribu tahun untuk menghasilkan budaya budaya yang kita lihat atau kenali sekarang. Berbangga dengan apa yang kita ada sekarang. Budayakan pemakaian baju Melayu.
Dedahkan dan galakkan anak-anak kita dengan baju melayu. Tanamkan sifat bangga diri dalam anak-anak kita sebagai orang Melayu kerana itu adalah salah satu warisan yang akan kita tinggalkan kepada generasi selepas kita kelak.
We find it hilarious apabila membaca tentang tuntutan-tuntutan budaya yang dibuat olih negara jiran kita.
Cendol dia punyalah, rojak buah, sate, nasi ayam, asam pedas, bubur cha cha dan sebagainya.
Tapi hakikatnya ini adalah serius. Ini adalah ancaman terhadap budaya dan warisan kita. Jangan pulak satu hari nanti kita berdepan dengan tuntutan negara jiran bahawa baju Melayu pun mereka yang punya!
Perkara itu tidak mustahil untuk berlaku kerana mereka tidak mempunyai apa-apa keaslian yang boleh dituntut sebagai berasal dari negara mereka.
Lalu, nasihat saya, jagalah, peliharalah apa yang kita telah warisi. Pakailah dan berbanggalah dengan baju Melayu.

* Zaihani Mohd Zain merupakan pengulas dan pengkritik fesyen.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#baju kebaya #baju kurung #baju melayu #budaya #Kolumnis AWANI #Melayu #pakaian