KUALA LUMPUR:Majlis Belia Malaysia (MBM) mempersoalkan ketiadaan wakil belia dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung perintah darurat.

Dalam satu kenyataan hari ini, MBM menegaskan keperluan untuk wakil belia menganggotai jawatankuasa tersebut adalah kerana golongan itu merupakan antara yang terkesan akibat pengisytiharan darurat.

“MBM sebagai badan induk pertubuhan belia merasa terkilan apabila tidak adanya wakil belia dilantik dalam Jawatankuasa Khas berkenaan, sedangkan hampir 45 peratus penduduk di negara ini terdiri daripada golongan belia,” tegas Presiden MBM Jufitri Joha dalam kenyataannya.

“Belia sudah tentunya antara kelompok yang terkesan dalam pengisytiharan darurat ini. Oleh sebab itu, maka wajarlah wakil belia juga turut dilantik dalam Jawatankuasa Khas ini,” katanya lagi.

BACA: Tun Arifin Zakaria ketuai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021

Justeru, MBM menggesa supaya pihak kerajaan mempertimbangkan secara serius pelantikan wakil belia yang berkelayakan dalam Jawatankuasa Khas tersebut.

Pada Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan senarai ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Selain Arifin, Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai dan bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin juga dipilih menganggotai jawatankuasa tersebut.

Empat ahli Parlimen kerajaan yang dipilih menganggotai jawatankuasa ini terdiri daripada Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Sri Rohani Abdul Karim; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Manakala tiga ahli Parlimen pembangkang pula adalah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.