[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Mangkuk tingkat piuter hasil tangan anak Melaka jadi tanda kenangan buat PM Anwar

Bernama 29/09/2025 | 14:45 MYT
Mohamad Azrai menunjukkan sebahagian cenderahati yang diperbuat daripada meterial pewter di reruai pamerannya untuk dijual kepada pelanggan sempena WTD dan WTC 2025 di Banda Hilir, hari ini. - Gambar Bernama
MELAKA: Tiada lebih mengujakan apabila mangkuk tingkat atau siya, iaitu bekas makanan tradisi yang sinonim dengan rakyat Melaka, menjadi hadiah eksklusif kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) baru-baru ini.

Lebih istimewa, tanda kenangan diperbuat daripada piuter itu dihasilkan sepenuhnya secara buatan tangan oleh usahawan kraf tempatan Mohamad Azrai Hussin, 43, dengan diberi sentuhan identiti Baba Nyonya.

Mohamad Azrai yang berasal dari Peringgit itu berkata beliau mengambil masa hampir dua minggu untuk menyiapkan karya berkenaan kerana mahu memastikan setiap perincian menggambarkan kepelbagaian etnik serta kehalusan seni warisan Malaysia khususnya Melaka.

"Ilham ini datang sendiri dan hasil perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka kerana kita mahu bawa imej Malaysia khususnya Melaka ke mata dunia melalui siya ini dan penganjuran TMM2026 secara tidak langsung telah mengangkat hasil kraftangan daripada material piuter ke satu tahap lebih tinggi.

"Bukan saja siya tetapi hadiah iringan untuk delegasi yang hadir pada Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 iaitu bingkai gambar, juga direka secara eksklusif manakala untuk pameran, kita tonjolkan aksesori tradisional seperti dokoh, kerongsang dan cucuk sanggul," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penganjuran WTD dan WTC 2025 selama tiga hari di Melaka turut memberi impak besar kepada usahawan kraftangan Melaka sepertinya apabila produk dipamerkan mendapat perhatian delegasi asing selain pelbagai agensi serta jabatan kerajaan yang hadir.

"Ia satu peluang kerana barangan piuter yang eksklusif sering menjadi pilihan utama sebagai cenderamata korporat manakala aksesori tradisional pula sentiasa mendapat tempat untuk digayakan dengan pakaian masing-masing," katanya.

Mohamad Azrai berkata beliau akan terus menghasilkan rekaan premium beridentitikan Malaysia khususnya Melaka sepanjang TMM2026 dengan menampilkan ciri unik setiap setiap negeri sebagai produk rasmi.

"Sekiranya konsep ini dapat digerakkan bersama kerajaan negeri, kementerian dan Kraftangan Malaysia, kita mampu untuk melahirkan koleksi beridentitikan negara yang boleh dipasarkan secara global.

"Bagi usahawan seperti saya, yang penting adalah memastikan produk berkualiti tinggi, harga berpatutan dan mudah dibawa selain menjaga aspek khidmat pelanggan kerana ia mencerminkan wajah negara," katanya.

-- BERNAMA



#TMM2026 #usahawan kraftangan #mangkuk tingkat #delegasi asing