HULU TERENGGANU: Penduduk yang terjejas akibat banjir di Kelantan dan Terengganu kali ini, akan menerima bantuan sehingga RM10,000 sama seperti yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika melakukan lawatan dan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Batu 23 di sini, pada Rabu.

"Apa yang kita beri kepada mangsa banjir sebelum ini pada gelombang pertama kita akan bagi sama di Terengganu dan Kelantan ini. Maksudnya sama, bantuan wang ihsan RM1,000 selain RM2,500 untuk membeli barangan keperluan rumah dan untuk baiki rumah serta kenderaan (dan sebagainya)," katanya.

Beliau berkata jika dicampur semua bentuk bantuan berkenaan termasuk baucar pembelian barangan, nilai yang diterima setiap isi rumah mencecah hampir RM10,000.

Terdahulu, beliau tiba di PPS berkenaan pada 2.15 petang dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan orang ramai, sebelum menyampaikan sumbangan berkenaan kepada mangsa banjir.

Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir, susulan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, turut terlibat kali ini, sehingga menyebabkan kerosakan harta benda yang serius.

Setakat pukul 2 petang tadi, jumlah penduduk yang dipindahkan ke 68 PPS di daerah Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu, berjumlah 15,317 orang daripada 4,011 keluarga.