GURUN: Jumlah mangsa banjir di Gurun akibat hujan lebat malam tadi terus meningkat kepada 910 orang melibatkan 219 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, ini berbanding sejumlah 541 orang daripada 137 keluarga yang dicatat pada jam 9 malam tadi.

“Kawasan terjejas membabitkan 11 kampung serta tiga taman perumahan iaitu Kampung Sungai Ibor, Kampung Jelatang, Kampung Batu 5, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Bongkok, Kampung Guar Nenas, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Batu 21.

"Serta, kampung Masjid Lama Pekan Atap, Kampung Pulau Cengal, Taman Gurun Jaya, Taman Gurun Indah dan Taman Sri Jerai,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Azhar memaklumkan, kesemua mangsa kini ditempatkan di dua PPS iaitu di Surau Kampung Sungai Bongkok seramai 291 mangsa daripada 70 keluarga manakala di Masjid Pekan Gurun seramai 619 mangsa daripada 149 keluarga.

Katanya, anggota dan pegawai APM sentiasa memantau keadaan paras air dan kawasan yang berkemungkinan berlaku banjir.

“Tindakan segera untuk memindahkan mangsa akan dilakukan untuk memindahkan mangsa ke tempat selamat,” ujarnya.