ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah yang antara lain berpunca daripada fenomena air pasang besar, mencatatkan penurunan malam ini berbanding pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan banjir (PPS) berkurangan kepada 856 orang daripada 232 keluarga, berbanding 885 orang daripada 240 keluarga di sebelah pagi.

Selain itu, katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah telah ditutup selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang pada jam 5 petang tadi.

Beliau berkata, setakat ini jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Kota Setar yang ditempatkan di enam PPS adalah seramai 565 mangsa daripada 156 keluarga.

"PPS SK Langgar masih kekal seramai 80 mangsa daripada 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti (55 mangsa) (19 keluarga) manakala PPS SK Darul Hikmah (114 mangsa) (31 keluarga).

"Selain itu, PPS SK Convent (91 mangsa) (24 keluarga), PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (163 mangsa) (44 keluarga) dan PPS SMK Simpang Kuala (62 mangsa) (15 keluarga)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohd Muaz berkata, mangsa banjir di Pendang masih kekal seramai 287 mangsa daripada 75 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dan PPS Dewan Cenderawasih.

Sementara di daerah Pokok Sena hanya empat mangsa daripada satu keluarga masih berada di PPS SK Tualang.