KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang menurun kepada 387 orang daripada 98 keluarga yang ditempatkan di empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah sehingga jam 8 pagi hari ini.

Ini berbanding 435 orang daripada 106 keluarga yang dicatatkan pukul 8 malam tadi, melibatkan daerah Temerloh, Bera dan Pekan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, di Temerloh mangsa yang masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan iaitu seramai 210 orang daripada 52 keluarga.

"Di Bera, jumlah mangsa berada di dua PPS seramai 35 daripada 10 keluarga. PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka sejak Jumaat menempatkan 27 orang mangsa daripada tujuh keluarga  dan sembilan orang (3 keluarga) di PPS SK Kerayong.

"Bagi daerah Pekan, jumlah mangsa  di SK Sinar Mutiara, kekal seperti hari sebelumnya iaitu seramai 142 orang mangsa daripada 36 keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Che Adam berkata, paras air Sungai Triang, Bera masih menunjukkan trend amaran berbahaya di paras ketinggian 34.54 meter pada jam 8 pagi hari ini.

Jelasnya lagi, manakala lima batang sungai di daerah Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Rompin dalam peringkat amaran pertama serta lima lagi waspada.

Beliau meminta penduduk di pesisir Sungai Pahang dan anak sungai perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih mengenai keadaan banjir daripada anggota APM yang bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain mengenai perkembangan banjir setipa hari.

"Penduduk perlu berwaspada kerana cuaca masih tidak menentu lebih-lebih lagi hujan turun dan ribu petir di kebanyakan tempat bermula waktu pagi, petang hingga ke malam," jelasnya.