IPOH:Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 319 orang daripada 112 keluarga dengan satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama setakat 9 malam ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata seramai 67 daripada 20 keluarga terpaksa dipindahkan ke Dewan Semai Bakti Felda Ijok bermula pada 5 petang selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan berterusan.

"Seramai 55 mangsa dari Kampung Sungai Ara di daerah sama pula masih berlindung di dewan orang ramai kampung itu manakala 34 lagi ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang berikutan banjir di kampung berhampiran masih belum surut," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi daerah Kerian, mangsa yang berlindung di PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka semalam turut meningkat kepada 148 mangsa berbanding 123 mangsa pagi tadi.

Mereka merupakan penduduk dari Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis serta Kampung Parit Air Itam 2 dan 3, Kampung Ban Pisang, Kampung Padang Lalang, Kampung Parit Abu Hassan Ban dan Kampung Parit Ali Kalang.

Mangsa terbaharu merupakan penduduk dari Kampung Parit Mat Keling dan Kampung Lebai Kadir yang turut terjejas akibat banjir.

Selain itu, di daerah Hilir Perak, sebuah PPS yang dibuka di dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap pada malam Khamis lepas masih kekal menempatkan 15 mangsa dari Kampung Belakang Kilang Kacang dan Kampung Sungai Tukang Sidin.

Cuaca di kebanyakan kawasan di Perak pada malam ini masih hujan berterusan namun pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Sukarelawan masih menjalankan pemantauan di lokasi banjir serta semua PPS terlibat.

-- BERNAMA