IPOH: Mangsa banjir di dua daerah di Perak terus meningkat kepada 92 orang daripada 33 keluarga, setakat jam 8 pagi ini, berbanding 17 orang dari lapan keluarga malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas di Daerah Manjung bagi menempatkan 51 mangsa dari 19 keluar.
“Kesemua mangsa itu adalah dari Kg Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kg Pulau Kabung,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam masa sama, katanya, mangsa banjir di Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) meningkat kepada 41 orang dari 14 keluarga.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir di Daerah Manjung pada jam 10.28 malam.
Menurutnya, hujan lebat berterusan telah mengakibatkan banjir dengan paras air setinggi lebih 0.5 meter.
“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan membantu mangsa banjir keluar.
“Mereka kemudianya dipindahkan dengan selamat ke PPS SK Beruas menerusi bantuan pihak Bomba dan agensi luar serta penggunaan kenderaan awam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir Kg Batu 25, mulai jam jam 6 petang semalam.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dengan ribut petir dijangka berlaku di Daerah Kerian, LMS, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak.