MALAYSIA

Mangsa banjir di Perlis, Perak menurun, Pahang dan Selangor meningkat malam ini

Bernama 04/12/2025 | 14:31 MYT
Beberapa kawasan di Kuala Lumpur turut dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama kira-kira satu jam petang tadi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Banjir semakin pulih di Perlis dengan bilangan mangsa yang masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Padang Besar dan Arau setakat 8 malam ini menurun kepada 115 orang berbanding 186 orang petang tadi.

Di PERAK, jumlah mangsa juga merekodkan penurunan kepada 2,000 orang daripada 598 keluarga di 14 PPS di empat daerah malam ini, berbanding 2,206 orang daripada 671 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan tujuh PPS di daerah Hilir Perak menempatkan 1,028 orang manakala Bagan Datuk (581 orang), Manjung (378 orang) serta Larut, Matang dan Selama kekal dengan 13 orang.

Di PAHANG bagaimanapun jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir meningkat malam ini dengan 113 mangsa daripada 30 keluarga berada di lima PPS berbanding 62 mangsa daripada 15 keluarga di empat PPS petang tadi.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 106 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di empat PPS di Raub manakala tujuh sekeluarga di Kuantan masih berlindung di satu PPS.

Bagaimanapun banjir di Maran yang pada petang tadi menempatkan sebanyak 21 mangsa daripada lima keluarga di sebuah PPS, pulih selepas kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 774 orang daripada 248 keluarga malam ini berbanding 764 mangsa membabitkan 246 keluarga petang tadi dan kesemua mereka ditempatkan di sembilan PPS di daerah Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 123 keluarga membabitkan 448 mangsa telah dipindahkan di dua PPS berikutan banjir yang melanda Hulu Langat, Kajang melibatkan kawasan Batu 20, Batu 18, Dusun Tua dan Batu 14.

Sementara itu, beberapa kawasan di KUALA LUMPUR turut dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama kira-kira satu jam petang tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Mohd Hafizan Hassan berkata antara kawasan terjejas ialah Jalan Sentul Pasar di Taman Bahagia, Jalan Batu Bata di Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh di Sentul, Kampung Chubadak Dalam serta Batu 2 1/2 , Jalan Ipoh.

-- BERNAMA


#mangsa banjir #Selangor #Perlis #Kuala Lumpur