ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Bandar Baharu dekat Kulim meningkat kepada 26 orang daripada enam keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 18 orang daripada empat keluarga malam tadi.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu Left (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata kesemua mangsa banjir dari Mukim Selama itu berada di Dewan Keda Sungai Tengas yang mula dibuka pada pukul 8 malam tadi.

"Bagi Mukim Selama ini, sebanyak 17 rumah dimasuki air, dan hanya enam keluarga terdiri daripada seramai 26 orang dipindahkan ke PPS Dewan Keda Sungai Tengas ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim yang juga Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bandar Baharu berkata hujan lebat sejak pukul 2 petang semalam itu turut menyebabkan rumah penduduk di kawasan Mukim Relau dan Mukim Sungai Batu dinaiki air.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada PPS dibuka berikutan hujan sudah sudah berhenti dan air banjir telah pun surut di kedua-dua kawasan itu.

"Hujan lebat mulai pukul 2 petang itu melebihi tempoh dua jam, menyebabkan air melimpahi sungai secara mendadak dan menyebabkan limpahan air...limpahan berlaku akibat aliran air yang turun dari bukit agak laju dari bukit," katanya.

-- BERNAMA