KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah kekal 75 orang membabitkan 25 keluarga yang diitempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort, pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir yang dipindahkan dari tiga kampung di daerah itu masih ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir.

"Tinjauan masih lagi diteruskan di kawasan hospot banjir. Tiada perubahan (situasi banjir) pagi ini dan cuaca pagi ini cerah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan tanpa henti lebih 48 jam sejak lewat petang 31 Ogos lepas telah mengakibatkan 60 kampung dalam dua daerah di Sabah terjejas akibat banjir iaitu 45 di Beaufort dan 15 di Membakut.

-- BERNAMA