[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Mangsa banjir di Sabah menurun, Sarawak kekal

Bernama 19/09/2025 | 11:00 MYT
JPBN Sabah memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 16 PPS melibatkan lima daerah iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar dan Sipitang. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SABAH berkurangan kepada 2,256 orang daripada 710 keluarga petang ini, berbanding 2,602 daripada 806 keluarga pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 16 PPS melibatkan lima daerah iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar dan Sipitang.

"Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Beaufort, Penampang, Papar dan Sipitang menunjukkan trend penurunan manakala jumlah mangsa di Membakut masih kekal.

"Selain itu, PPS di daerah Putatan ditutup petang ini. Sehingga kini 120 kampung terjejas akibat bencana banjir yang melanda sejak 9 Sept," menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan jumlah mangsa kekal 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, setakat 3 petang tadi.

Dalam pada itu, berdasarkan laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai di stesen Long Teru, Miri masih pada 9.13 meter (m) iaitu melepasi paras bahaya 8m.

Paras sungai di stesen Marudi juga kekal dengan bacaan 4.38m melepasi paras bahaya 3.25m manakala Lubok Piasau II, Limbang kekal pada 2.24m, melebihi paras bahaya 2.2m.

-- BERNAMA



#banjir sabah #banjir Sarawak #jumlah mangsa #PPS