MALAYSIA

Mangsa banjir di Sabah menurun, Sarawak kekal

Bernama 21/09/2025 | 02:20 MYT
JPBN Sabah memaklumkan, 53 kampung masih terjejas setakat ini, melibatkan 24 kampung di Penampang, 20 di Papar dan sembilan di Membakut. - Gambar hiasan/JBPN Sabah
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah mencatatkan penurunan pagi ini, manakala jumlah mangsa di Sarawak kekal tidak berubah.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di PPS menurun kepada 439 orang daripada 128 keluarga pagi ini berbanding 892 orang daripada 273 keluarga petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS melibatkan daerah Penampang, Membakut dan Papar.

"Jumlah mangsa banjir di Papar (126 orang) dan Penampang (121 orang) menunjukkan trend penurunan, manakala jumlah mangsa di Membakut kekal 192 orang," menurut kenyataan itu.

JPBN turut memaklumkan sebanyak 53 kampung masih terjejas setakat ini, melibatkan 24 kampung di Penampang, 20 di Papar dan sembilan di Membakut.

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri, kekal 17 orang daripada lima keluarga pagi ini.

Sementara itu, data daripada laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras Sungai di Stesen Long Teru masih berada pada tahap bahaya iaitu 8.77 meter, namun dengan trend menurun perlahan sejak dua hari lalu.

Paras air di Stesen Marudi pula kekal pada bacaan bahaya iaitu 4.17 meter.

-- BERNAMA

#mangsa banjir #Sabah #Sarawak #banjir #PPS